Digelar 'MY Queen of Transition', Gigi Cheoh raikan busana tradisional pelbagai kaum menerusi kandungan video


  • Gaya
  • Khamis, 28 Ogos 2025

Gigi Cheoh terkenal dengan kreativitinya menghasilkan video transisi sambil menggayakan busana tradisional pelbagai kaum di Malaysia. — Instagram/@gigicheoh

DI TikTok, trend video transisi sering kelihatan mudah. Dengan hanya sekelip mata, pakaian, solekan dan latar belakang boleh berubah sepenuhnya.

Namun di sebalik kelancaran itu, setiap transisi memerlukan perancangan rapi, ketepatan masa dan kreativiti tinggi.

Setiap gerakan perlu selari, setiap potongan klip mesti tepat agar hasil akhirnya kelihatan lancar dan cukup menarik perhatian.

BACA LAGI: [VIDEO] Mudahkan orang Islam nikmati sajian Cina tanpa waswas, suami isteri perkenal jenama Budak Melayu Jual Dumpling

BACA LAGI: 'Siap masak, bayarkan bil rawatan', wanita tumpah air mata dibantu jiran India lepas tangan melecur

 

Justeru, transisi kini bukan lagi sekadar hiburan, tetapi telah berkembang menjadi bentuk seni visual moden yang memerlukan kesabaran serta kemahiran teknikal.

Trend ini turut dimanfaatkan oleh pencipta kandungan untuk menonjolkan keunikan budaya sesebuah negara.

Di Malaysia, antara pempengaruh yang menjadi tumpuan ialah gadis berbangsa Cina yang digelar ‘MY Queen of Transition’, Gigi Cheoh.

Memiliki hampir 400,000 pengikut di TikTok, Gigi bukan sahaja dikenali kerana kreativitinya menghasilkan video singkat yang menarik perhatian, tetapi juga kerana caranya meraikan kepelbagaian budaya dan busana tradisional masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Finalis TikTok Awards Popular Creator itu sering memanfaatkan fesyen tradisi sebagai medium untuk menonjolkan budaya Satu Malaysia.

Antara hantaran yang mencuri tumpuan ialah apabila beliau tampil dengan cheongsam, saree, busana tradisional Borneo serta baju kurung, sekali gus menonjolkan keindahan warisan pelbagai kaum di Malaysia.

Pendekatan itu bukan sahaja menarik perhatian pengikut tempatan, malah turut memikat warga maya antarabangsa yang kagum melihat kelainan budaya negara ini.

Jika unik di mata kita, apatah lagi di mata orang luar.

Apa yang mengagumkan, setiap tahun, Gigi turut tidak ketinggalan menghasilkan kandungan bersempena Hari Kebangsaan

Kebiasaannya, beliau dirakam berjalan di lokasi ikonik sekitar Kuala Lumpur dengan busana tradisional sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Tahun ini pula, dengan berbaki hanya tiga hari lagi sebelum sambutan Hari Kebangsaan, Gigi sudah pun memuat naik sebuah video transisi khas sempena merdeka pada Rabu. 

Kali ini, beliau memilih untuk menggunakan lagu patriotik 31 Ogos nyanyian Allahyarham Sudirman sebagai latar muzik. 

Dengan gaya penuh semangat, Gigi tampil dalam beberapa busana tradisional yang melambangkan kepelbagaian kaum.

Selain itu, musim perayaan pula menjadi antara momen paling dinantikan di laman sosialnya.

Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Gigi menghasilkan video transisi memaparkan dirinya menggayakan sembilan pasang baju kurung berbeza, dipadankan dengan payung nyonya kuning sebagai pelengkap gaya.

Bagi Deepavali, beliau tampil pula dalam pelbagai rekaan saree berwarna-warni dengan berlatar belakangkan kuil Batu Caves, manakala ketika Tahun Baru Cina, Gigi mengekalkan tradisinya dengan mempamerkan pelbagai rekaan cheongsam.

Yang lebih istimewa, dalam satu hantaran lain, Gigi tampil anggun dalam kebaya nyonya di bandar Melaka bersama ibunya yang berusia 63 tahun.

Detik itu secara tidak langsung memperlihatkan bagaimana busana tradisional bukan sahaja diraikan generasi muda, tetapi turut diraikan oleh generasi lebih berusia.

Menerusi kandungan video yang dihasilkan Gigi, beliau menjadi contoh bagaimana kreativiti di media sosial boleh dimanfaatkan untuk memupuk rasa bangga terhadap budaya sendiri sambil menanam semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram