
JIKA dahulu, pengantin diapit oleh rakan terdekat atau sepupu untuk membantu hal kecil sepanjang majlis, kini wujud satu peranan baharu yang lebih profesional iaitu pembantu pengantin atau lebih dikenali sebagai bride assistant (BA).
Pada mulanya, ramai pelik dengan idea pengantin perlu membayar seseorang untuk jadi pengapit, malah ada yang menyangka BA adalah 'mak andam' yang bertanggungjawab untuk merias raja sehari.
Tetapi realitinya, tugas BA jauh lebih luas. Mereka bertanggungjawab memastikan busana, aksesori, solekan hingga emosi pengantin berada dalam keadaan baik sepanjang hari.
BACA LAGI: [VIDEO] Sinki dengan aliran air tanpa henti, dekor unik bagai ada sungai di dapur
Amira (kanan) percaya bahawa perkhidmatan BA boleh menjadi sebuah kerjaya dalam jangka panjang.
Trend tersebut yang pada awalnya dianggap janggal kini semakin diterima. Semakin ramai pasangan muda yang mahukan majlis berjalan lancar tanpa membebankan ahli keluarga.
Antara individu terawal memperkenalkan kerjaya itu ialah Amira Nadhirah yang pada asalnya hanya menjadi pengapit di majlis keluarga dan rakan.
Siapa sangka, daripada hobi merakam detik perkahwinan, beliau kini menjadi individu penting dalam mempopularkan kerjaya BA di Malaysia.
Bermula sebagai pengapit
Amira menceburi bidang ini pada 2023 selepas mendapat inspirasi daripada saudaranya di Indonesia yang bekerja sebagai perancang majlis perkahwinan.
Beliau banyak berkongsi video memaparkan dirinya sedang menjalankan tugas sebagai pengapit yang kemudiannya mendapat perhatian dari saudaranya yang merupakan perancang majlis perkahwinan di Indonesia.
"Selepas saya memuat naik video-video serta gambar di media sosial, saya mendapat pesanan mesej dari salah seorang saudara saya yang merupakan seorang wedding planner di Indonesia.
"Beliau memperkenalkan saya dengan istilah bride assistant. Katanya, BA merupakan salah satu servis yang terkenal dan sering digunakan oleh pengantin-pengantin di sana," katanya ketika ditemu bual Majoriti pada Khamis.
Selain membantu pengantin perempuan, BA juga menyumbang kepada kelancaran aliran majlis perkahwinan.
Selepas mempelajari mengenai perkhidmatan BA, beliau mula minat untuk melakukannya dan kemudian memuat naik kandungan video di TikToknya yang mana ia mendapat sambutan yang menggalakkan.
Menurut wanita berusia 28 tahun itu, peranan BA jauh berbeza daripada pengapit biasa. Ia meliputi menemani pengantin dari sesi persiapan pagi, memastikan kelengkapan dalam keadaan baik, menjaga busana, aksesori serta menjaga penampilan pengantin sepanjang hari.
"BA memastikan barang-barang pengantin lengkap dan penampilan sentiasa memuaskan," jelas lulusan Sarjana Muda Bahasa Melayu dari Univerisiti Malaya (UM) tersebut.
Cabaran dan salah faham
Namun, kerjaya terlibat tidak terlepas daripada cabaran.
Kata anak kelahiran Johor itu, perkhidmatan BA sering disalah anggap sebagai 'mak andam', lebih-lebih lagi ketika awal ia diperkenalkan.
"Pada awalnya, ramai salah faham dan bertanya sama ada saya mak andam. Ada juga pengantin perkenalkan saya kepada keluarga sebagai ‘kawan’ supaya tak timbul salah faham," katanya.
Faktor tersebut katanya menguatkan lagi beliau untuk memperluaskan lagi servis BA di Malaysia agar lebih dikenali dan diterima.
Enggan pengalaman peribadi dimanfaatkan sendiri, beliau mengambil inisiatif untuk menjalankan sesi perkenalan dan mengajar individu baharu yang ingin menceburi bidang sama.
"Buat masa sekarang, saya juga masih aktif menjalankan kelas bagi mereka yang baru ingin menceburi bidang ini secara maya," jelasnya.
Walaupun ada kalanya perlu berdepan situasi mencabar, namun Amira tetap memastikan pengantin selesa dan kelihatan sempurna.
Berkongsi lanjut, anak keempat dari lima beradik itu juga pernah berdepan situasi tidak dijangka seperti solekan cair, busana koyak atau aksesori rosak.
Justeru, keadaan itu memerlukan beliau untuk menyediakan kelengkapan tambahan selain mempelajari ilmu jahitan.
"Saya selalu bawa kit kecemasan yang merangkumi gincu, bedak, pin, jarum dan benang. Saya juga belajar cara baiki busana daripada pemilik butik supaya tak tambah kerosakan," tambahnya.
Antara pengalaman mencabar lain termasuk mengurus majlis yang berlangsung di luar dengan cuaca yang panas atau hujan lebat.
Pun begitu, Amira tetap memastikan pengantin selesa dan kelihatan sempurna di hadapan tetamu serta jurugambar.
Bagi Amira, kepuasan terbesar ialah apabila pengantin memilihnya selepas melihat cara beliau bekerja di majlis kenalan mereka.
"Saya percaya bahawa mereka menghargai kerja saya sebagai BA dan mempercayai saya untuk membantu di majlis perkahwinan mereka pula" ujarnya.
Ucapan terima kasih daripada keluarga pengantin juga menjadi antara momen yang tidak dilupakan sepanjang dua tahun dalam bidang ini.
Dengan permintaan semakin tinggi, beliau yakin perkhidmatan terlibat mampu menjadi kerjaya jangka panjang.
"Walaupun belum hujung tahun, sudah ada pengantin yang tempah untuk majlis 2026. Saya percaya BA boleh jadi satu kerja yang diiktiraf jika dijalankan secara konsisten," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram