[VIDEO] Comel berbaju kurung moden, idea 'last minute' ibu siapkan 3 puteri kembar raih pujian


  • Bonda
  • Jumaat, 29 Ogos 2025

Tiga beradik kembar menggayakan busana kurung moden sempena sambutan Hari Kebangsaan negara ke-68 tahun ini.

SAMBUTAN Hari Kebangsaan sentiasa dimeriahi dengan pelbagai aktiviti peringkat komuniti mahupun sekolah yang bertujuan menyemarakkan hari bersejarah itu.

Golongan kanak-kanak antara paling teruja meraikan hari tersebut terutamanya menerusi aktiviti pakaian beragam yang menjadi acara tahunan di peringkat sekolah.

Malah, ibu bapa juga antara kelompok individu yang terpalit sama dalam menghasilkan rekaan busana unik dan menarik demi meraikan kegembiraan si kecil.

BACA LAGI: 'Bersyukur tinggal di Malaysia', 'miss cantik' rebah di dalam MRT dirawat hingga sedar, ramai prihatin

BACA LAGI: [VIDEO] Jiwa patriotik Kayla disemai sejak bayi, kostum 'Srikandi Pahang' serikan Hari Kebangsaan ke-68

Berlumba-lumba mencurah idea serta konsep pakaian sempena Hari Kebangsaan, seorang ibu mencuri perhatian apabila menggayakan ketiga-tiga anak kembarnya dengan pakaian tradisi kurung moden.

Masih mengekalkan warna dan tema bendera Jalur Gemilang, kecomelan tiga beradik kembar perempuan itu nyata menjadi bualan hangat warga maya di laman sosial.

Difahamkan, idea busana itu tercetus pada detik-detik akhir beberapa hari sebelum acara pakaian beragam di sekolah anaknya.

Hasil usaha dan bantuan daripada kenalan rapat dipercayai tukang jahit, berjaya menghasilkan pakaian terbabit yang direka khas buat tiga puteri berkenaan.

"Terima kasih @mad_ahmad91, last minit semalam cari kain lebihan jahitkan untuk tiga puteri.

"Mama terlepas pandang hari ini ada sambutan hari kebangsaan dekat tadika PASTI, mereka punya teruja semalam, 'esok pakai baju merdeka mama', remind sampai ke tidur," katanya.

Dalam pada itu, suasana penuh warna-warni menyelubungi sekolah di seluruh negara apabila murid-murid tampil dalam pakaian beragam sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Daripada busana tradisional pelbagai kaum, pakaian bertemakan Jalur Gemilang, sehinggalah gaya kreatif hasil kitar semula, aktiviti tersebut bukan sahaja menceriakan suasana, malah memperlihatkan semangat patriotisme yang dipupuk sejak di bangku sekolah.

Situasi itu jelas memperlihatkan bahawa semangat cintakan negara boleh dipupuk sejak usia kecil sekali gus menjadi lambang perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram