Kontinjen beruniform wanita dan K9 berkaca mata, ini 5 tarikan utama sambutan Hari Kebangsaan ke-68


  • Maya
  • Sabtu, 30 Ogos 2025

Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dijangka berlangsung meriah dengan pelbagai persembahan dan pertunjukan menarik. — FAIHAN GHANI/The Star

RAPTAI penuh Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang diadakan di Dataran Putrajaya pada Jumaat berlangsung meriah dengan pelbagai persembahan dan penampilan istimewa. 

Suasana penuh warna-warni dengan kibaran Jalur Gemilang, sorakan penonton serta pelbagai persembahan yang mengangkat semangat patriotik jelas memberi bayangan awal betapa gahnya acara kemuncak pada 31 Ogos nanti.

Raptai penuh yang dijangka melibatkan lebih 20,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pelajar dan pertubuhan sukarela itu memperlihatkan koordinasi mantap sekali gus menambah keterujaan rakyat yang hadir. 

BACA LAGI: [VIDEO] Comel berbaju kurung moden, idea 'last minute' ibu siapkan 3 puteri kembar raih pujian

BACA LAGI: 'Bersyukur tinggal di Malaysia', 'miss cantik' rebah di dalam MRT dirawat hingga sedar, ramai prihatin

Bukan sekadar perarakan rasmi, sambutan kali ini turut diserikan dengan beberapa tarikan unik yang dijangka mencuri perhatian pada hari sebenar nanti.

Hangat diperkatakan di laman sosial dan halaman akhbar, berikut merupakan antara lima sorotan utama yang dijangka menjadi tumpuan pada bersejarah itu kelak.

1. Anjing K9 bergaya dengan kaca mata

Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) kali ini tampil dengan kelainan apabila anjing pengesan yang dilatih khas dipakaikan kaca mata pelindung. 

Selain meningkatkan ciri keselamatan dalam operasi, ia juga memberikan sentuhan unik dan mencuit hati penonton.

Kehadiran K9 ini bukan sekadar hiburan, tetapi memperlihatkan peranan besar pasukan anjing pengesan dalam menangani jenayah, mengesan bahan letupan serta membantu operasi menyelamat.

2. Siti Nurhaliza

Biduanita dan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dijangka menjadi antara kemuncak acara apabila bakal mempersembahkan lagu tema rasmi sambutan kali ini bertajuk Malaysia Madani Rakyat Disantuni.

Persembahan beliau bukan sahaja membangkitkan semangat patriotisme, malah turut mencerminkan mesej Malaysia Madani yang menekankan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum. 

Kehadiran penyanyi nombor satu negara itu dijangka menarik perhatian penonton di lokasi serta jutaan rakyat yang mengikuti siaran langsung.

3. Kontinjen wanita badan beruniform

Penyertaan barisan wanita daripada pelbagai pasukan beruniform termasuk polis, tentera, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan RELA akan menyerikan perarakan tahun ini.

Ia membuktikan bahawa golongan wanita bukan sahaja berperanan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial, tetapi turut memainkan peranan penting dalam mempertahankan negara serta membantu masyarakat ketika kecemasan.

Perarakan mereka dalam masa sama juga menjadi simbol keberanian dan keteguhan wanita Malaysia dalam menyumbang kepada negara.

4. Abang askar sado

Antara yang tular sepanjang proses raptai berlangsung semestinya kehadiran anggota tentera dengan fizikal tegap dan berkarisma, yang digelar warganet sebagai 'abang askar sado'.

Fenomena itu sebenarnya mencerminkan tahap disiplin dan keteguhan fizikal pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sentiasa bersiap siaga mempertahankan negara. 

Walaupun penampilan mereka menjadi bualan santai masyarakat, ia secara tidak langsung menunjukkan imej ketenteraan yang kuat serta menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai tugas dan pengorbanan tentera.

5. Brass band wanita diraja

Menambahkan lagi suasana meriah, pasukan brass band wanita daripada Rejimen Semboyan Diraja dijangka bakal mempersembahkan alunan muzik patriotik sepanjang acara perarakan.

Pasukan brass band wanita rejimen semboyan Malaysia. — TikTok/potret_seni

Selain keunikan kerana dianggotai oleh wanita, brass band itu melambangkan kepelbagaian bakat dalam dunia ketenteraan  bukan sekadar kekuatan fizikal, tetapi juga bakat seni yang mampu menyemarakkan semangat rakyat. 

Persembahan mereka akan menjadi warna tambahan yang menghidupkan lagi sambutan Hari Kebangsaan kelak.

Kemeriahan menuju 31 Ogos

Raptai penuh yang berlangsung jelas menunjukkan bahawa Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 tahun ini bukan sekadar acara rasmi, tetapi satu manifestasi semangat perpaduan, keberanian dan kesyukuran rakyat Malaysia. 

Dengan pelbagai tarikan unik, sambutan kali ini dijangka menjadi antara yang paling diingati, bukan sahaja kerana hiburannya, tetapi kerana mesej yang dibawa bahawa Malaysia kekal kukuh, harmoni dan bersatu hingga ke hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram