Roéma Atelier perkenal 2 pereka Indonesia, julung kali pentaskan koleksi adibusana di Malaysia


  • Gaya
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Yogie Pratama mempersembahkan sebuah himpunan yang cukup elegan, serba klasik dan penuh berprestij.

RUANG klasik di Colonial Café, The Majestic Hotel Kuala Lumpur bertukar menjadi pentas elegan apabila Roéma Atelier mempersembahkan debut eksklusif dua nama besar fesyen dari Indonesia, Stellarissa dan Yogie Pratama. 

Pertunjukan adibusana atau couture ini diadakan dalam majlis hi-tea tertutup serba mewah yang menghimpunkan barisan tetamu terpilih.

BACA LAGI: Tampil 'avant-garde' di acara fesyen, hak masing-masing ekspresi diri atau bergaya perlu ada batas?

BACA LAGI: Noor Nabila dedah kos rawatan kulit wajah cecah RM140,000, cantik tanpa mekap juga perlu keluar modal

Roéma Atelier, yang diasaskan oleh Tuscany Leau dan Felita Wibisono, hadir dengan misi mengangkat kemewahan busana pengantin serta pakaian malam di Malaysia. 

Roéma bukan sekadar menghubungkan pereka dengan kelompok pelanggan yang betul, platform ini turut menyokong bakat serantau untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Stellarissa dan Yogie Pratama sewaktu mempersembahkan koleksi masing-masing di Kuala Lumpur.

“Kami melihat diri kami sebagai kurator dan penjaga seni adibusana Asia Tenggara. Setiap pereka yang dipilih membawa sentuhan unik, manakala kami pula menyediakan ruang serta pengalaman agar mereka benar-benar dekat dengan pelanggan di sini,” jelas pengasas Roéma Atelier.

Stellarissa

Pentas petang itu dimulakan dengan persembahan koleksi eksklusif Stellarissa, jenama yang diterajui oleh pereka terkenal Stella Rissa. 

Koleksi ini tampil berani dengan palet hitam dan putih yang diinspirasikan daripada falsafah Yin dan Yang, mencerminkan keseimbangan antara struktur dan kelembutan.

Setiap rekaan Stellarista menonjolkan bentuk moden dengan potongan teliti, perincian halus serta feminin. 

Koleksi ini jelas mendukung identiti Stellarissa sebagai rumah fesyen yang meraikan kesederhanaan mewah serta keanggunan abadi.

“Bekerjasama dengan Roéma adalah satu kegembiraan. Visi kami sama iaitu memperkukuh kehadiran pereka Asia di pentas global. Inilah bukti bahawa bakat dari Asia Tenggara wajar mendapat tempat yang sewajarnya di mata dunia,” ujar Stella Rissa.

Yogie Pratama

Seterusnya, penonton dibawa ke alam penuh fantasi melalui koleksi Whimsical oleh Yogie Pratama. 

Pertunjukan ini mengangkat nuansa puitis dengan permainan tekstur lembut, sulaman halus dan siluet yang seolah-olah mengajak tetamu hanyut dalam mimpi.

Gaun-gaun ciptaan Yogie juga bagai jelmaan watak puteri dari helaian buku cerita dongeng. 

Tulle gebu dan sulaman halus menjadi kekuatan jenama ini, manakala potongan dari fabrik berkilau memberi ilusi cahaya bulan. 

Palet warna lembut dan dramatik menambah pesona magis pada koleksi indah ini.

Yogie, yang pernah mereka busana untuk nama antarabangsa seperti Christina Aguilera, Pevita Pearce dan Ariana Greenblatt, menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu langkah bermakna. 

“Kami berkongsi visi yang sama dengan Roéma. Kami sama-sama meraikan ketelitian, keindahan dan mementingkan perkhidmatan bertaraf dunia. 

“Saya percaya inilah platform terbaik untuk membawa hasil seni kami kepada pengantin bukan sahaja di rantau ini, malah di seluruh dunia.”

Gerbang baharu adibusana

Acara fesyen yang dianjurkan ini bukan sekadar memperkenalkan koleksi indah, tetapi juga membuka ruang dialog antara Kuala Lumpur dan Jakarta dalam mengangkat seni, pertukaran budaya serta keindahan couture yang tidak lapuk dek zaman.

Ia turut menandakan permulaan kepada gelombang baharu fesyen rantau ini, sekali gus membuktikan bahawa bakat Asia Tenggara mampu bersaing di pentas global tanpa menjejaskan identiti dan akar budaya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram