
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan, jumlah pesakit skizofrenia menunjukkan peningkatan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
“Bilangan pesakit meningkat 3 peratus pada 2022 berbanding 2021, melonjak 17 peratus pada 2023 dan naik lagi 14.6 peratus pada 2024 berbanding 2021,” kata kementerian tersebut menerusi jawapan bertulis di parlimen pada Khamis.
Sepanjang tempoh itu, seramai 7,468 pesakit telah discaj dari hospital kementerian pada 2022, meningkat kepada 8,481 pada 2023 sebelum mencatat 8,303 pada 2024.
BACA LAGI: [VIDEO] Isteri doktor, suami juruterbang sanggup LDR demi negara, jarak bukan penghalang
Rawatan untuk pesakit skizofrenia meliputi penggunaan ubat, pemulihan serta sokongan psikososial. — Gambar hiasan/Freepik
Daripada jumlah pada 2024, 59.1 peratus adalah bumiputera manakala 38.7 peratus bukan bumiputera.
KKM menjelaskan, rawatan untuk pesakit skizofrenia meliputi penggunaan ubat, pemulihan serta sokongan psikososial termasuk bantuan pekerjaan.
Pesakit boleh dirawat sama ada sebagai pesakit wad (inpatient) atau luar (outpatient).
Bagi kes serius, pesakit dimasukkan ke wad untuk menerima ubat dan pemantauan sehingga stabil sebelum discaj.
Manakala kes lebih ringan boleh dirawat di klinik psikiatri pakar.
Pesakit juga perlu meneruskan rawatan susulan dan pemulihan di klinik psikiatri hospital atau Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari).
KKM turut menegaskan, rawatan susulan dan pemulihan psikososial di peringkat komuniti penting untuk membantu pesakit kembali berfungsi dan hidup lebih berdikari.
“Rawatan pemulihan komuniti dijalankan oleh pasukan psikiatri komuniti hospital. Mereka juga membuat lawatan rumah bagi pesakit yang berhenti rawatan, memerlukan suntikan di rumah atau pemantauan,” jelas KKM lagi.
Di pusat mentari, program pemulihan memberi tumpuan kepada mengembalikan fungsi pesakit agar mereka boleh kembali menjalani kehidupan dalam masyarakat.
Selain itu, terdapat juga sokongan pekerjaan untuk pesakit yang sesuai dengan pemantauan daripada pasukan rawatan.
Perkhidmatan ini terbukti meningkatkan kualiti hidup pesakit, mengurangkan risiko berulang sakit dan mengurangkan kemasukan semula ke hospital.
Jawapan berkenaan dikemukakan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berhubung jumlah pesakit skizofrenia serta rawatan yang disediakan. — The Star/Ragananthini Vethasalam, Rahimy Rahim dan Benjamin Lee
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram