Posisi tidur dedah personaliti, emosi seseorang, anda kategori mana?


  • Sihat
  • Sabtu, 16 Ogos 2025

Cara tidur dedahkan banyak perkara tentang personaliti kita

TAHUKAH anda bahawa posisi tidur kegemaran sebenarnya boleh mendedahkan sisi peribadi?

Kajian mengenai posisi tidur bukan sahaja membantu dalam memahami kualiti tidur dan kesihatan, tetapi juga mendedahkan corak personaliti seseorang. Ini kerana secara sedar atau tidak lazimnya kita memilih posisi tidur tertentu untuk meredakan ketidakselesaan fizikal atau emosi.

Para penyelidik turut mengaitkan pelbagai posisi tidur dengan ciri-ciri personaliti yang berbeza. 

BACA LAGI: Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda

BACA LAGI: Sesiapa cuci pinggan sebaik selesai makan biasanya miliki 7 ciri personaliti ini

Berikut maksud di sebalik posisi tidur:

1. Fetal

Posisi ini menyerupai bentuk bayi dalam kandungan, badan meringkuk ke tepi dengan lutut dan tangan dibengkokkan. Lebih 60 peratus orang dewasa tidur dalam posisi ini. Menurut pakar tidur, Samuel Dunkell, mereka yang tidur begini cenderung lebih cemas dan emosional.

2. Log (kayu tegak)

Tidur mengiring dengan tangan dan kaki lurus ke bawah seperti batang kayu. Pakar Chris Idzikowski menyatakan mereka yang tidur dalam posisi ini mudah bergaul dan mesra, namun mudah diperdaya.

3. Yearner (meraih)

Seakan posisi log, tetapi tangan terjulur ke hadapan seolah-olah sedang mencapai sesuatu. Individu ini biasanya terbuka, tetapi cenderung skeptikal dan curiga terhadap orang lain.

4. Askar

Tidur telentang dengan tangan di sisi badan dan kaki lurus. Golongan ini sering bersifat pendiam, serius, dan berprinsip tinggi. Posisi ini juga boleh membantu mengurangkan tekanan pada badan.

5. Starfish

Tidur telentang dengan tangan di atas bantal dan kaki terlunjur. Mereka yang tidur begini selalunya pendengar yang baik, menghargai persahabatan dan suka membantu walaupun tidak mahu jadi tumpuan ramai. Menurut Dunkell, posisi telentang dikaitkan dengan keyakinan diri dan keterbukaan.

6. Freefall

Tidur meniarap dengan tangan di bawah bantal dan kepala menoleh ke sisi. Walaupun kelihatan yakin, mereka yang tidur begini biasanya sensitif dan tidak selesa dengan kritikan atau tekanan.

Dunkell percaya bahawa penidur posisi itu cenderung kepada sifat impulsif, cemas, dan tegas, sesuai untuk kerjaya seperti perakaunan atau pengurusan.

Walaupun posisi tidur bukanlah ukuran sepenuhnya terhadap sifat peribadi anda, sedikit refleksi tentang tabiat kita boleh bantu kita faham diri sendiri dengan lebih mendalam. Jadi malam nanti, perhatikan posisi anda, mungkin ia ada cerita tersendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram