Kim Kardashian lancar produk balut wajah, jadi tumpuan wanita inginkan muka runcing


  • Gaya
  • Sabtu, 02 Ogos 2025

Kim Kardashian melancarkan produk baharu berupa balutan muka yang menyerupai alat pemulihan pasca pembedahan kosmetik.

USAHAWAN dan personaliti terkenal, Kim Kardashian sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila jenama shapewear miliknya, Skims melancarkan produk baharu berupa balutan muka yang menyerupai alat pemulihan pasca pembedahan kosmetik.

Produk yang dinamakan Seamless Sculpt Face Wrap itu mula dijual pada harga kira-kira RM205 (AS$48) dengan tujuan untuk mengangkat dan menyokong bahagian pipi, dagu serta leher ketika dipakai terutamanya sewaktu tidur.

Direka dengan tali dagu dan penutup Velcro, produk itu menyerupai balutan muka yang sering digunakan oleh pesakit selepas menjalani prosedur seperti pembedahan plastik atau sedut lemak wajah.

“Ia hampir sama dengan alat pemulihan perubatan. 

“Ia membayangkan betapa obsesi terhadap wajah sempurna kini semakin diterima sebagai norma," kata pakar bedah plastik di Beverly Hills, Dr Jonathan Sykes. 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Biar kulit hitam, bukan hati hitam', Fila Amir dan suami tangkis tohmahan anak haram

BACA LAGI: 'Dah tak ada orang boleh hina kita lagi', selepas ketepikan impian sendiri selama 15 tahun demi adik-adik yatim piatu, abang akhirnya genggam ijazah

Pelancaran produk itu dibuat hanya sebulan selepas Kim menamatkan jenama penjagaan kulitnya, SKKN by Kim. 

Ramai melihat langkah berkenaan sebagai percubaan Kardashian menyertai pasaran alat kecantikan yang kononnya menawarkan hasil tanpa perlu jalani pembedahan.

Menurut Skims, balutan wajah itu diperbuat daripada fabrik pengukir khas yang sama digunakan dalam koleksi shapewear mereka dan turut mengandungi bahan digelar benang kolagen, meskipun tidak diperincikan secara saintifik.

Namun, ramai mempersoalkan keberkesanan produk berkenaan.

Pengkritik kecantikan, Jessica DeFino menyifatkan ia sebagai usaha menjual ilusi wajah yang tidak realistik kepada pengguna.

“Kim menjual rupa bentuk wajah yang mungkin dicapainya melalui prosedur mahal atau invasif. Tetapi dia cuba meyakinkan orang ramai bahawa mereka boleh mendapat hasil yang sama hanya dengan memakai balutan ini,” katanya.

Lebih mengejutkan, Skims turut mencadangkan agar balutan itu dipakai semalaman. 

Cadangan itu menimbulkan reaksi kurang senang sesetengah pihak yang merasakan bahawa waktu tidur kini turut dijadikan ruang untuk memperbaiki wajah.

“Tekanan untuk kelihatan cantik kini terlalu melampau sehingga waktu tidur pun dikomersialkan,” kata DeFino.

Trend itu semakin popular di media sosial. Di TikTok, ramai pengguna berkongsi video mereka memakai alat kecantikan waktu malam di bawah tanda pagar seperti #facesculpting dan #morningshed.

Trend itu turut mendorong jenama lain seperti NuFace dan Skin Gym memperkenalkan alat seumpamanya yang kononnya boleh mengurangkan bengkak, menegangkan kulit dan memperbaiki struktur wajah.

Namun menurut pakar, kebanyakan alat seperti itu hanya memberikan kesan sementara.

“Balutan muka boleh membantu mengurangkan bengkak selepas makan makanan tinggi garam, tetapi ia tidak memberi kesan jangka panjang,” jelas pakar bedah plastik dari New York, Dr Alan Matarasso. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram