Kanak-kanak antara 3 maut selepas bot dinaiki terbalik, pemandu sah positif dadah


  • 112
  • Ahad, 29 Jun 2025

Kejadian itu mengorbankan tiga nyawa termasuk dua kanak-kanak. — Ihsan Bomba

PEMANDU bot yang terlibat dalam insiden bot terbalik di perairan Pulau Perhentian, Besut, Terengganu pada Sabtu ditahan selepas disahkan positif dadah dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.30 malam itu mengorbankan tiga nyawa termasuk dua kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu memaklumkan, mangsa yang terkorban ialah S. Arumugam, 40, anak perempuannya A. Sarrvihka, 3, dan seorang saudara mereka, V. Vennpani, 10.

BACA LAGI: [VIDEO] Penat besarkan keluarga tanpa suami, anak kandung sanggup 'buang' ibu di rumah kebajikan warga emas

BACA LAGI: Konten 'Tube Girl' jadi fenomena, Sabrina kelahiran Malaysia kini cipta nama di UK

Menurut beliau, seramai 12 mangsa lain termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan kritikal telah dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan susulan.

“Bot tersebut membawa 15 penumpang berusia antara tiga sehingga 40 tahun dan terbalik ketika cuaca buruk, hujan lebat serta laut bergelora,” katanya.

Siasatan awal mendapati kesemua penumpang tidak memakai jaket keselamatan semasa kejadian.

Pemandu bot yang berusia lingkungan 20-an itu kini ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan ahli keluarga ketika berada di kawasan peranginan pantai, manakala pengendali bot pula perlu mematuhi semua peraturan keselamatan terutama pemakaian jaket keselamatan.

Sementara itu, menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada pukul11.17 malam selepas pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 10.55 malam.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Jeti Pelancongan Besut menggunakan Bot Maritim Penggalang 45 sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Beliau menegaskan siasatan rapi akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan Maritim Malaysia akan terus mempertingkat aspek keselamatan pengangkutan laut, khususnya di kawasan pelancongan.

“Insiden ini mengingatkan kita semua tentang pentingnya aspek keselamatan di laut, terutamanya ketika cuaca tidak menentu.

Maritim Malaysia menyeru semua pengendali bot agar mematuhi arahan keselamatan dan sentiasa menyemak ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan,” jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram