Hailey trauma bersalin secara paksa, alami pendarahan serius, sifatkan Bieber 'super daddy'


  • Bonda
  • Jumaat, 25 Jul 2025

Hailey Bieber akhirnya terbuka untuk menceritakan tentang pengalaman perit  melahirkan cahaya mata pertamanya bersama Justin Bieber.

PENGASAS jenama kecantikan Rhode, Hailey Bieber akhirnya buka cerita tentang pengalaman perit melahirkan cahaya mata sulung hasil perkahwinan bersama suami, Justin Bieber.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Vogue Italia, beliau mendedahkan bahawa meskipun pernah menyimpan hasrat untuk menjadi ibu, realitinya jauh lebih mencabar daripada apa dibayangkan. 

“Saya pernah melihat kakak melalui fasa ini. Ia membuatkan saya terinspirasi untuk menjadi ibu. Tapi jujurnya, saya langsung tak bersedia untuk semua ini," ujar Hailey yang kini berusia 28 tahun.

BACA LAGI: 'Cara susun barang di dapur pun kena judge,' wanita rimas mentua kerap datang rumah, nak luah bimbang suami kecil hati

BACA LAGI: 'Genap sebulan sejak janji, maut tak pisahkan kita', balu Diogo Jota pecah kebisuan, imbau hari terindah

Di sebalik wajah tenang di media sosial, tersimpan pelbagai cabaran fizikal dan emosi terpaksa dilalui secara senyap.

“Kehamilan itu tak dirancang. Ia terjadi secara tiba-tiba dan saya bergelut untuk terima kenyataan. Hidup saya berubah sekelip mata,” katanya.

Pasangan selebriti itu menyambut kelahiran anak lelaki mereka, Jack Blues pada Ogos 2024.

Menurut Hailey, beliau dikatakan melalui proses kelahiran secara paksa (induced labour) selepas doktor mengesan kebocoran air ketuban pada minggu ke-39.

Lebih membimbangkan, selepas melahirkan Jack, Hailey mengalami pendarahan serius atau postpartum haemorrhage iaitu satu komplikasi boleh mengancam nyawa ibu.

“Ia adalah antara rasa sakit paling teruk yang pernah saya rasa dalam hidup.

“Walaupun saya percaya dengan kepakaran doktor, fikiran negatif tetap menghantui,” dedah Hailey yang masih trauma dengan insiden tersebut. 

Dalam masa sama, khabar angin mengenai keretakan rumah tangga mereka mula bertebaran di media terutama selepas Justin dilihat berkelakuan aneh dan Hailey muncul di khalayak tanpa cincin perkahwinan.

Namun, Hailey menepis khabar angin mengenai keretakan rumah tangganya bersama Justin. 

Malah, beliau menyifatkan penyanyi lagu Yummy itu sebagai individu paling penting dalam membantunya melalui fasa sukar selepas bersalin. 

“Justin seorang ayah yang luar biasa. Dia benar-benar jadi diri sendiri dan melihat saya seperti dewi, seorang adiwira… sekurang-kurangnya, itulah yang penting untuk saya,” katanya.

Walaupun berdepan ujian fizikal dan emosi yang berat, Hailey mengakui pengalaman bergelar ibu menjadi titik perubahan penting dalam hidup dan perkahwinannya.

“Ia satu cabaran besar secara mental. Tapi akhirnya semuanya berbaloi. Saya belajar banyak tentang diri saya… dan tentang kami sebagai pasangan,” katanya.  — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram