Giliran ketua HR letak jawatan, rentetan 'kantoi' skandal dengan CEO Astronomer di konsert Coldplay


  • Cinta
  • Jumaat, 25 Jul 2025

Kristin Cabot disahkan mengundurkan diri selepas kantoi berpelukan mesra dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi Astronomer semasa konsert Coldplay.

PEGAWAI kanan sumber manusia di syarikat teknologi Astronomer dilaporkan meletakkan jawatan selepas kantoi berpelukan mesra dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu ketika aksinya ditayangkan di skrin besar konsert Coldplay.

Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikat DataOps berkenaan, Kristin Cabot disahkan mengundurkan diri susulan kontroversi hubungan sulit bersama Andy Byron yang juga telah meletakkan jawatan beberapa hari lebih awal.

“Kristin Cabot tidak lagi bersama Astronomer, beliau telah meletakkan jawatan,” kata wakil syarikat kepada media.

BACA LAGI: 'Genap sebulan sejak janji, maut tak pisahkan kita', balu Diogo Jota pecah kebisuan, imbau hari terindah

BACA LAGI: Suami enggan lepas walau sudah lafaz taklik, peguam syarie jelas prosedur perlu isteri lakukan

Insiden memalukan itu berlaku ketika konsert Coldplay di Massachusetts, apabila wajah Cabot dan Andy Byron dirakam sedang berpelukan di tempat duduk penonton. 

Reaksi panik pasangan itu sebaik menyedari mereka dirakam menimbulkan persoalan besar sekali gus mencetuskan spekulasi hangat tentang hubungan sebenar mereka.

Vokalis Coldplay, Chris Martin turut berseloroh dari atas pentas dengan mengatakan, “Sama ada mereka sedang curang, atau mereka cuma sangat pemalu” selepas melihat reaksi gelabah mereka. 

Rakaman momen itu kemudiannya tular di media sosial sehingga meraih lebih 45 juta tontonan. 

Tidak lama kemudian, warga maya berjaya mengenal pasti lelaki berkenaan sebagai Andy Byron dan wanita di sisinya sebagai Kristin Cabot iaitu pegawai tertinggi dalam jabatan syarikat yang sama.

Isu berkenaan menjadi lebih hangat apabila Byron dilaporkan sudah berkahwin dengan wanita lain dan mempunyai dua orang anak. 

Profil LinkedIn Cabot yang kini sudah dipadam menunjukkan beliau mulai menyertai Astronomer sejak November 2024 dan pernah menggambarkan dirinya sebagai pemimpin yang bersemangat dalam membentuk budaya kerja yang sihat.

Syarikat Astronomer dalam satu kenyataan mengesahkan kedua-dua individu terbabit telah meletak jawatan dan satu siasatan dalaman turut dilancarkan bagi menyiasat kes tersebut.

Pengganti CEO baharu, Pete DeJoy turut mengulas isu itu dalam satu hantaran di LinkedIn.

“Walaupun saya tidak pernah mengharapkan situasi seperti ini berlaku, Astronomer kini sudah dikenali ramai walaupun atas sebab yang tidak kami inginkan,” katanya yang merujuk kepada perhatian luar biasa yang tercetus akibat kontroversi itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram