'Kalau ALLAH nak tunjuk', satu-persatu terbongkar, anak terbaca 'message' ayah dengan skandal dekat Facebook


  • Cinta
  • Isnin, 21 Jul 2025

Seorang wanita berkongsi bagaimana bekas majikannya mengetahui kecurangan suami iaitu hanya melalui satu hantaran di media sosial. — Gambar Hiasan

"KALAU ALLAH nak tunjukkan, senang dan cepat sahaja."

Itulah ungkapan yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan warganet susulan insiden tular pasangan yang kantoi curang di media sosial. 

Kisah sebegitu membuka ruang kepada lebih ramai pengguna media sosial untuk berkongsi pengalaman peribadi mereka tentang bagaimana dapat mengetahui kecurangan pasangan masing-masing, dalam keadaan yang sama sekali tidak disangka.

BACA LAGI: Bukan calang-calang, besar peranan, jawatan isteri CEO Astronomer, jadi perhatian lepas suami 'kantoi' curang di konsert Coldplay

BACA LAGI: Hasrat bercuti bertukar tragedi, budak 10 tahun trauma ibu bapa masih hilang akibat insiden bot terbalik di Teluk Ha Long

Di laman Threads, seorang wanita berkongsi bagaimana bekas majikannya mengetahui kecurangan suami iaitu hanya melalui satu hantaran di media sosial.

Mengimbau detik itu, Samthingbrewin berkata, si suami dilihat sedang menikmati makan malam bersama seorang wanita yang dipercayai skandalnya serta ibu wanita tersebut. 

Kejadian itu berlaku di sebuah restoran dan gambar mereka bertiga dimuat naik oleh pemilik premis restoran itu dengan kapsyen mesra, “Terima kasih kerana menjamu selera bersama kami.”

Tanpa disangka, gambar itu dilihat sendiri oleh majikannya iaitu si isteri ketika sedang melayari Instagram secara santai. 

Sedar dirinya sedang melihat wajah suami bersama perempuan lain, si isteri tidak terus menyerbu, sebaliknya menyimpan tangkapan skrin sebagai bukti

Beberapa hari kemudian, gambar tersebut didapati telah dipadamkan.

Tidak berpuas hati, majikannya bertindak menghantar mesej peribadi kepada akaun restoran berkenaan sambil menyamar sebagai seorang rakan lama yang ingin mencari semula wanita dalam gambar tersebut.

Respon yang diterima daripada pihak restoran mengejutkan apabila mengatakan, “Suami kawan awak minta kami padam hantaran itu kerana ibu mentuanya (iaitu ibu kepada wanita dalam gambar) telah meninggal dunia. Mereka sedang bersedih."

Namun hakikatnya, wanita tersebut masih hidup dan sihat walafiat.

“Nasib baik screenshot semua siap-siap. Serah pada peguam. Biar mereka selesaikan,” kata Samthingbrewin. 

Kisah itu kemudiannya membuka ruang kepada warga maya lain untuk turut berkongsi pengalaman masing-masing berhadapan isu pasangan yang curang.

Seorang pengguna, Thefacelessgirl menceritakan bahawa kecurangan suaminya terbongkar hanya kerana satu bungkusan.

“Saya jumpa bungkusan atas nama suami dalam keretanya, tapi alamatnya adalah ke sebuah kondominium mewah berhampiran rumah kami. Sewaan kondo di situ mencecah RM5,000 sebulan. 

"Selepas disiasat, barulah saya tahu selama ini dia ada hubungan sulit dengan seorang janda. Mereka belum berkahwin pun. Selepas itu baru saya tahu kenapa suami selalu mengadu tak cukup duit dan suka menghilang tinggalkan anak dan isteri,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Sigadisvirgo91 berkata, bekas suaminya yang juga sepupunya kantoi curang apabila terserempak dengan ahli keluarga sendiri.

“Dia bawa skandal naik motor ke kawasan perniagaan milik makcik kami. Makcik saya sempat ambil gambar mereka dan hantar kepada pakcik saya, yang kemudiannya sampai ke tangan ayah saya. Habis semua saudara-mara tahu. Tak reti nak sorok langsung,” tulisnya.

Sementara itu, pengguna lain, Sititanjung pula mengalami detik yang menyedihkan apabila anak-anak sendiri menjadi saksi kepada kecurangan si ayah.

“Suami terlupa log out Facebook di telefon anak. Anak-anak sendiri terbaca mesej lucah antara dia dan perempuan tersebut, yang rupa-rupanya isteri orang. Saya simpan semua bukti dan bawa ke mahkamah untuk selesaikan secara undang-undang,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Ishaamstar menceritakan bagaimana sepupu kepada rakan sekerjanya kantoi curang di Zoo Negara.

“Mereka berdua bergambar mesra di photobooth. Selepas jurugambar memindahkan gambar ke komputer, imej mereka dipaparkan di skrin. Lelaki itu tidak sedar sepupunya duduk di belakang skrin dan tengok segalanya.

"Bila sepupunya bangun dan tunjukkan wajah, pucat terus muka lelaki itu,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram