
PENYANYI jazz tempatan, Noryn Aziz menyambut baik trend kebangkitan semula artis-artis era 80-an dan 90-an yang kembali aktif mengadakan konsert.
Bagi Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abdul Aziz, 49, fenomena ini bukan sekadar mengenang nostalgia, malah mencerminkan kekuatan muzik lama yang masih ada dalam jiwa peminat serta dalam seni artis tanah air.
“Benda ini nampak macam trend, tapi sebenarnya lebih daripada itu. Saya rasa ramai artis zaman dulu rindu nak menyanyi balik.
"Apabila nampak orang boleh terima, ada market, jadi kenapa tidak? Mereka boleh buat dan berjaya,” katanya ketika ditemui Majoriti baru-baru ini.
BACA LAGI: Ibu pelik anak tiba-tiba ketawa, hiperaktif lepas makan kari di restoran, kas-kas ke puncanya?
Noryn menghargai perubahan era muzik dahulu dan kini. — Instagram/@norynaziz
Menurut beliau, peminat daripada pelbagai lapisan usia termasuk generasi muda turut menunjukkan minat terhadap lagu-lagu lama yang dianggap lebih ‘berjiwa’ dan dekat di hati.
“Lagu-lagu lama ni masih dinyanyikan sampai sekarang. Dekat karaoke pun orang menyanyi. Lagu wajib. Kadang-kadang generasi muda pun rasa lagu lama masih sedap didengar," ujarnya yang turut membesar dengan lagu-lagu popular seperti kumpulan Elite dan 4U2C.
Dalam membandingkan muzik dahulu dan kini, Noryn mengakui setiap era membawa pendekatan dan cara penghayatan yang berbeza.
"Dulu kita analog, sekarang digital. Dulu lebih menjiwai. Tapi perubahan ini bagus, kita tak boleh 'tersekat' dalam satu jenis muzik.
"Yang penting, industri kita terbuka dan beri ruang kepada semua. Sama ada artis lama atau baharu, semua ada rezeki masing-masing,” jelasnya.
Beliau turut menyentuh cabaran besar di sebalik penganjuran konsert yang sering dipandang remeh oleh sesetengah pihak.
"Nak buat konsert bukan senang, kos boleh cecah lebih RM100,000. Jadi, tolong hargai usaha artis-artis kita. Jangan anggap mudah," tegas Noryn sambil menyeru penonton agar lebih menyokong acara-acara muzik tempatan.
Sebagai bukti kecintaannya terhadap seni pentas, Noryn bakal mengadakan showcase solo bertajuk This is Noryn Aziz di Kuala Lumpur pada 19 September nanti.
Konsert yang diadakan secara intimate itu bakal menampilkan gabungan lagu-lagu jazz, R&B serta pilihan irama 70-an dan 80-an yang membentuk perjalanan seninya.
“Saya nak penonton kenal siapa Noryn Aziz. Saya bawakan apa yang dekat dengan jiwa saya seperti jazz, R&B dan muzik dari zaman saya membesar.
"Yang penting, kita datang konsert bukan untuk bersedih, tapi untuk faham dan bergembira,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram