
INSIDEN memalukan yang berlaku semasa konsert Coldplay di Stadium Gillette, Foxborough, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menyebabkan nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat teknologi Astronomer, Andy Byron menjadi perbualan hangat di media sosial.
Beliau dirakam dalam momen mesra bersama Ketua Pegawai Sumber Manusia (CPO) syarikat itu, Kristin Cabot menerusi segmen kiss cam.
Namun, turut mendapat perhatian selepas klip itu tular ialah isteri Byron, Megan Kerrigan yang sebelum ini sama sekali tidak dikenali umum.
Ramai mulai mencari tahu mengenai identiti sebenar wanita yang bergelar isteri kepada Andy Byron itu.
BACA LAGI: Bila waktu terbaik untuk nikah? Berikut panduan pilih tarikh perkahwinan ikut syariat Islam
Siapakah Megan Kerrigan?
Megan Kerrigan bukanlah figura sembarangan. Menurut laporan OneIndia dan disahkan menerusi profil rasmi Bancroft School, Megan Kerrigan merupakan seorang profesional dalam sektor pendidikan.
Beliau kini bertugas sebagai Penolong Pengarah Sekolah Rendah dan Program Kemasukan Hope Graham di Bancroft School, sebuah sekolah swasta terkenal terletak di Worcester, Massachusetts.
Hope Graham Program ialah program khas menyediakan sokongan kepada pelajar yang mengalami perbezaan dalam pembelajaran seperti disleksia.
Dalam peranannya, Megan bertanggungjawab terhadap proses pengambilan murid dan merancang keperluan pendidikan yang bersesuaian.
Megan berusia 50 tahun bukan sekadar pegawai pentadbiran biasa, namun beliau berpengalaman luas dalam dunia pendidikan khas.
Beliau dikenali dalam komuniti sekolah sebagai pendidik yang berdedikasi dan dihormati.
Beliau tinggal di Northborough, Massachusetts, AS bersama dua anak hasil perkahwinannya dengan Andy Byron.
Selama ini, Megan tidak aktif di mana-mana platform sosial dan tidak pernah mendedahkan kehidupan peribadinya secara terbuka kepada umum.
Selepas rakaman kiss cam itu mencetuskan kecaman ramai, warga maya mula menyedari perubahan ketara pada akaun Facebook Megan.
Beliau dilihat menggugurkan nama Byron daripada profilnya.
Tidak lama selepas itu, akaun Facebook tersebut dinyahaktifkan dan akaun Instagram beliau turut dipadam.
Perubahan itu mencetuskan spekulasi tentang wujudnya krisis rumah tangga antara Megan dan suaminya.
Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Astronomer, syarikat itu menegaskan komitmen mereka terhadap nilai dan budaya kerja yang profesional.
Mereka memaklumkan bahawa satu siasatan dalaman telah dibuat, namun mengesahkan bahawa Byron dan Cabot masih belum dipecat.
Bagaimanapun, pada Ahad, syarikat Astronomer yang diasaskan Byron berkata, pihak lembaga telah menerima peletakan jawatan Byron yang berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kejadian tular sebelum ini, Byron dilihat memeluk Kristin Cabot dan kedua-dua mereka kelihatan tergamam apabila menyedari sedang dirakam.
Byron dilihat menunduk, manakala Cabot menutup wajahnya dengan tangan sehingga mencetuskan pelbagai andaian daripada penonton.
Kristin Cabot, yang memegang jawatan sebagai CPO difahamkan baru menyertai syarikat itu pada 2024. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram