
TIADA rawatan tunggal untuk sindrom pasca-Covid-19 atau 'long Covid', yang kekal sebagai isu kesihatan awam global serius dan masih kurang diberi perhatian.
Dianggarkan lebih 400 juta individu di seluruh dunia mengalami simptom berpanjangan selepas jangkitan Covid-19 termasuk masalah penghadaman dan keletihan umum.
Namun, sekumpulan penyelidik dari Universiti Cina Hong Kong (CUHK) berusaha mencari penyelesaian dengan menguji keberkesanan formulasi simbiotik dengan gabungan probiotik dan prebiotik bagi merawat simptom long Covid.
BACA LAGI: 'Penthouse' 3 tingkat bernilai hampir RM1 bilion di New York, kediaman mewah tertinggi dunia
Ini berdasarkan kajian terdahulu CUHK yang mendapati pesakit long Covid mempunyai perubahan dalam mikrobiom usus mereka.
Formulasi tersebut dibangunkan hasil penyelidikan selama sedekad mengenai mikrobiom usus rakyat Asia.
Ia mengandungi tiga jenis probiotik (Bifidobacterium adolescentis, Bifidobacterium longum dan Bifidobacterium bifidum) serta tiga serat prebiotik (galaktooligosakarida, xilooligosakarida dan dekstrin tahan).
Antara 2021 hingga 2022, seramai 463 pesakit yang pulih daripada Covid-19 tetap mengalami sekurang-kurangnya satu simptom long Covid direkrut bagi kajian klinikal rawak terkawal di Hong Kong.
Hampir 70 peratus daripada mereka dipercayai dijangkiti varian Omicron.
Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan, satu menerima formulasi simbiotik tersebut manakala satu lagi menerima plasebo berupa dos rendah Vitamin C selama enam bulan.
Hasil kajian menunjukkan:
Keputusan 70 peratus daripada kumpulan yang mengambil formulasi melaporkan peningkatan dalam masalah penghadaman, berbanding 54.1 peratus daripada kumpulan plasebo.
Mereka juga menunjukkan peningkatan dari segi keletihan, masalah tumpuan, kehilangan ingatan dan rasa tidak sihat secara umum berbanding kumpulan plasebo.
Analisis najis menunjukkan peningkatan kepelbagaian bakteria baik, pengurangan bakteria tidak baik, serta keseimbangan mikrobiom yang lebih sihat.
Menurut penyelidik utama, Prof Dr Siew C. Ng, seorang pakar gastroenterologi, itu merupakan kajian klinikal pertama yang membuktikan bahawa modulasi mikrobiom usus mampu membantu pemulihan simptom neurologi long Covid.
"Ia mengukuhkan kepentingan hubungan antara usus dan otak (gut-brain axis)," katanya.
"Dengan memulihkan mikrobiota usus yang sihat, bakteria akan menghasilkan metabolit bermanfaat yang akan diserap ke dalam darah dan memberi kesan positif kepada fungsi otak."
Kajian penting itu diterbitkan dalam jurnal Lancet Infectious Diseases pada Mac 2024.
Prof Ng menjelaskan bahawa bakteria baik mengambil masa antara enam hingga 12 bulan untuk membiak dalam usus.
"Saya nasihatkan pesakit untuk ambil formulasi itu sekurang-kurangnya enam bulan. Jika ada perubahan positif, mereka boleh berhenti. Tapi bagi sebahagian kecil pesakit, simptom mereka kembali selepas berhenti," ujarnya.
Tambahnya, ramai pesakit masih mengambil formulasi itu walaupun selepas tiga tahun, kerana mereka percaya ia membantu kekal sihat.
Namun begitu, adakah individu sihat perlu ambil probiotik juga?
"Saya faham jika orang ramai skeptikal terhadap probiotik, kerana terlalu banyak produk di pasaran yang buat pelbagai tuntutan," kata Prof Ng.
"Kalau anda sihat, anda takkan tahu pun sama ada ia benar-benar berkesan!"
Sebagai dekan bersekutu Fakulti Perubatan CUHK, Prof Ng kini aktif memberi pendidikan kepada doktor serta ahli farmasi tentang cara memilih dan memberi preskripsi probiotik secara berkesan.
"Kami dapati tidak semua strain probiotik memberi manfaat sama. Ada kajian klinikal yang menunjukkan tiada perubahan pada mikrobiom usus walaupun selepas pengambilan sesetengah probiotik," jelasnya.
Nasihat beliau kepada orang ramai:
Cuba ubah gaya hidup terlebih dahulu untuk jaga kesihatan usus.
Teliti kajian klinikal berskala besar sebelum membuat keputusan membeli suplemen probiotik.
Formulasi yang diuji dalam kajian itu kini boleh didapati di farmasi terpilih di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram