'Pertama kali ibu pegang duit sebanyak itu', RM800,000 duit hibah licin tak sampai setahun, terpaksa lupakan hasrat naik haji


  • Maya
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Duit hibah sepatutnya menjadi peluang mengubah hidup, tetapi tanpa pengurusan yang bijak, ia hanya tinggal kenangan. - Gambar Hiasan/Freepik

HILANG RM800,000 dalam masa setahun, tanpa tanah, rumah, wakaf atau infaq kekal.

Belum sempat menjejak kaki ke tanah suci dan kini, hanya tinggal puluhan ribu ringgit sahaja.

Itulah realiti menyedihkan yang dikongsikan oleh pengguna Threads, @fajrienaaa, tentang ibunya yang tidak pernah mengurus wang sebesar itu sebelum ini.

BACA LAGI: Masih belum pulih 'long covid', probiotik potensi jadi ikhtirar alternatif

BACA LAGI: Setahun lepas bercerai, pempengaruh Salama umum bertunang, gambar cincin berlian jadi perhatian

Duit hibah yang diterima ibunya, jika diurus dengan bijak, mampu memberi nafas panjang untuk hari tua.

Malah mungkin mampu membantu lebih ramai jika disalurkan secara berhemah.

Namun, sebaliknya berlaku apabila wang tersebut dibelanjakan tanpa hala tuju yang jelas.

Segalanya habis dalam tempoh tidak sampai 12 bulan.

"Seumur hidup tak pernah pegang duit, jadi terkejut. Saya tak boleh bayang duit dah habis nanti," tulisnya, menggambarkan betapa keluarganya kini bimbang dengan nasib ibunya yang semakin menghampiri zon bahaya kewangan.

Niat baik, tapi silap pertimbangan

Antara bentuk pemborosan yang diceritakan termasuklah pembelian 10 ekor lembu untuk ibadah korban dan memberikan RM50,000 kepada seorang kawan untuk tujuan pelaburan, yang sehingga kini tiada khabar berita.

"Asal kawan nak pakai duit, dia dahulukan. Bayar tak lagi. Tak apa katanya. Tapi bila dah tak ada duit nanti, siapa yang akan tolong?"

Apa yang kelihatan mulia seperti membantu kawan, bersedekah, berkorban adalah tidak salah pada asasnya.

Namun, apabila dilakukan tanpa sempadan atau pertimbangan jangka panjang, ia akhirnya membawa kerugian.

Niat baik tidak sepatutnya menggantikan keperluan untuk berhikmah dalam berbelanja.

 

 

Perkongsian itu telah mendapat perhatian ramai di media sosial.

Rata-rata orang ramai yang bersimpati dan berkongsi pengalaman hampir serupa.

Mereka sepakat bahawa pengurusan kewangan yang lemah, ditambah dengan tekanan sosial dan 'sangka baik' melampau terhadap orang sekeliling, menjadi punca utama duit habis begitu sahaja.

Komen pengguna @zuesahmad misalnya, menyarankan agar wang seperti itu disimpan di institusi seperti Tabung Haji atau ASB, agar dividen bulanan dapat dimanfaatkan secara berterusan.

"Sayangnya tak well managed. Pengajaran untuk kita juga, bila ada, jangan belanja macam esok dah nak kiamat. Berhemah bila berbelanja dan bersedekah ikut kemampuan."

Pengguna lain, @rossespellora pula mengingatkan tentang perlunya melindungi orang tua daripada ‘serangan’ individu yang mengambil kesempatan.

"Adik kena lindungi mak. Orang sekeliling tahu mak baru dapat duit hibah, sebab itu semua kawan keliling. Jangan bagi orang lain yang menikmati susah payah awak sebelum dapat hibah."

Wang banyak, tapi tanpa ilmu kewangan

Fenomena sebegini bukanlah kes terpencil seperti yang diceritakan oleh seorang pengguna bernama French Vanilla, datuknya pernah menerima pampasan RM500,000 hasil pengambilan tanah oleh pihak kerajaan.

Namun, dalam masa singkat, wang itu habis tanpa kesan jangka panjang, tambah buruk lagi rumah tidak sempat dibaiki, anak-anak pinjam tanpa membayar semula dan akhirnya, kehidupan kembali ke asal.

Kini, datuknya hanya bergantung kepada anak-anak lain untuk makan dan minum.

Perkara itu menimbulkan persoalan yang lebih besar: Adakah kita bersedia untuk menerima jumlah wang besar tanpa kemahiran mengurusnya?

Duit yang datang tanpa proses kerja keras seringkali tidak dihargai sepenuhnya.

Ini bukan soal rezeki halal atau haram, tetapi bagaimana amanah itu diurus.

Rezeki yang besar datang dengan tanggungjawab yang lebih besar.

Apa boleh kita pelajari?

Perkongsian itu bukan sekadar luahan hati seorang anak.

Ia adalah peringatan kepada kita semua tentang pentingnya:

Ilmu kewangan asas sebelum menerima jumlah wang yang besar.

Perancangan jangka panjang seperti simpanan, pelaburan berisiko rendah dan keperluan ibadah seperti haji.

Menapis ‘niat baik’ dengan kebijaksanaan kerana bukan semua permintaan bantuan harus dipenuhi.

Melindungi ahli keluarga, terutama yang mudah terpengaruh atau terlalu mempercayai orang sekeliling.

Berbelanja dalam batas kemampuan, bukan untuk dilihat mulia di mata orang.

Rezeki yang besar, jika tidak disertakan dengan panduan dan perancangan akan menjadi ujian yang menyakitkan di hujung jalan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram