
BAGI Ambika Gupta, setiap pagi yang dilalui di kediamannya kini adalah satu momen yang tidak pernah gagal membuatkan dirinya rasa bersyukur.
"Saya keluar dari bilik sambil memegang secawan kopi dan memandang sekeliling ruang tamu. Saya mencubit diri sendiri. Ini rumah pertama saya," katanya dengan penuh perasaan.
Pengasas syarikat perancang perkahwinan terkenal, The A-Cube Project, Gupta kini tinggal bersama anak perempuannya berusia 11 tahun, Shanyraa, serta seekor anjing jenis Jack Russell Terrier bernama Milo.
BACA LAGI: [VIDEO] Pesawat tiba-tiba menjunam, penumpang sempat tulis wasiat, nombor pin bank
BACA LAGI: Buntu tiada ilham merias kediaman tersendiri, ikuti panduan sebelum memulai projek dekorasi
Kediaman unik itu bukanlah rumah biasa, ia adalah hasil gabungan tiga unit apartmen lama di kawasan Sterling Road yang disatukan menjadi sebuah rumah berkonsep empat tingkat penuh emosi, seni dan kenangan.
Di sebalik transformasi luar biasa itu ialah arkitek dan pereka dalaman tersohor dari Chennai, Gowri Adappa, yang juga pengasas bersama A Design Co.
Projek yang mengambil masa hampir tiga tahun itu menjadi simbol kepada kerjasama dua wanita berjiwa kreatif: Ambika, yang mereka impian perkahwinan dan Gowri, yang membina ruang untuk kehidupan.
Kediaman unik itu bukanlah rumah biasa, ia adalah hasil gabungan tiga unit apartmen lama di kawasan Sterling Road yang disatukan menjadi sebuah rumah.
Gabungan cita rasa dan kenangan
Setiap ruang kediaman itu dirancang dengan teliti dan disulam dengan elemen nostalgia yang dekat di hati pemilik.
Antara ciri unik ialah ruang ‘sunken pit’ yang dihiasi kusyen dan lampu meja kaca dari Mumbai suatu imbasan kepada kenangan zaman kanak-kanak Ambika di rumah neneknya di Madhya Pradesh.
"Dulu, kami semua sepupu akan melompat dan berkumpul di ruang seperti ini. Ia tempat menyatukan keluarga," katanya.
Ruang masuk rumah pula menampilkan pintu kayu antik yang dibawa khas dari Puducherry hasil lawatan bersama Gowri untuk meninjau kerja kraf tempatan.
Di dalamnya terdapat bangku Belanda lama dari Colombo, yang menjadikan ruang itu tempat berteduh tenang sebaik melangkah masuk dari luar.
Setiap ruang kediaman itu dirancang dengan teliti dan disulam dengan elemen nostalgia yang dekat di hati pemilik.
Kreativiti tanpa batas
Dalam proses pembinaan dan pengubahsuaian, tidak semua berjalan lancar.
Salah satu momen penting yang diingati ialah ketika mereka akhirnya memutuskan untuk membuat bukaan antara aras mezanin dan tingkat bawah demi mewujudkan kesatuan ruang.
"Projek ini membuat saya melihat semula keseluruhan pendekatan saya terhadap seni bina," kata Gowri yang turut tersenarai dalam AD100, senarai 100 pereka terkemuka.
Sentuhan unik Gowri jelas kelihatan dalam pemilihan material seperti lantai granit hitam, kemasan tembaga, tekstil lembut berona putih dan koleksi seni budaya India Selatan termasuk patung kayu marapachi bommai.
Semua itu diiringi dengan pemandangan kehijauan dari tingkap-tingkap besar dan beranda yang mengelilingi rumah.
Antara ciri unik ialah ruang ‘sunken pit’ yang dihiasi kusyen dan lampu meja kaca dari Mumbai.
Objek, cerita dan sentuhan peribadi
Ambika pula membawa dimensi tersendiri melalui kisah di sebalik setiap objek.
Contohnya, bar kayu di ruang tamu asalnya merupakan sebahagian daripada set penggambaran siri Amazon Prime Video 'Made in Heaven', yang memaparkan kisah perancang perkahwinan.
"Saya muncul dalam satu babak yang menampilkan bar ini, dan saya minta izin pengarah untuk bawa pulang sebagai kenangan," katanya.
Gowri kemudian mengubah suai perabot tersebut agar sesuai dengan tema kediaman.
Di tingkat paling atas, terletaknya bilik tidur utama milik Ambika yang memancarkan aura elegan klasik.
Katil empat tiang khas diperbuat daripada kayu jati, berlantaikan walnut dan dihiasi permaidani dari Jaipur.
Sebuah candelier antik tergantung di tengah ruang, menghidupkan suasana seolah-olah berada dalam sebuah rumah bangsawan lama.
Bagi Ambika Gupta dan Gowri Adappa, inilah rumah yang benar-benar "dibina dengan cinta".
Ruang yang menceritakan jiwa
Gabungan berani tiga unit apartmen menjadi satu rumah bertingkat ini bukan sekadar soal reka bentuk ia mencerminkan perjalanan emosi, keinginan mendalam untuk mencipta ruang yang penuh jiwa dan penghargaan terhadap seni serta warisan.
Bagi Ambika Gupta dan Gowri Adappa, inilah rumah yang benar-benar "dibina dengan cinta". — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram