[VIDEO] Pesawat tiba-tiba menjunam, penumpang sempat tulis wasiat, nombor pin bank


  • Benua
  • Khamis, 03 Jul 2025

Wajah cemas penumpang ketika detik mencemaskan pesawat tiba-tiba menjunam di udara. — Agensi

"SAYA sudah hampir menangis. Saya tulis wasiat, maklumat insurans dan nombor PIN kad bank saya."

Itulah detik panik yang dikongsikan salah seorang penumpang apabila pesawat Japan Airlines tiba-tiba menjunam hampir 26,000 kaki dalam masa kurang 10 minit.

Kejadian cemas itu berlaku pada Isnin, 30 Jun, ketika penerbangan JL8696/IJ004 berlepas dari Shanghai menuju ke Tokyo.

BACA LAGI: Buntu tiada ilham merias kediaman tersendiri, ikuti panduan sebelum memulai projek dekorasi

BACA LAGI: Manfaat pelihara haiwan, pupuk disiplin, rangsang kemahiran motor kanak-kanak

Pesawat Boeing 737 yang dikendalikan oleh Spring Japan, anak syarikat kos rendah Japan Airlines, membawa seramai 191 penumpang dan kru sebelum terpaksa melencong ke Osaka.

Menurut laporan antarabangsa, sekitar pukul 6:53 petang waktu tempatan, pesawat itu mengalami gangguan tekanan kabin secara tiba-tiba hingga memaksa juruterbang melakukan pendaratan kecemasan.

Topeng oksigen secara automatik jatuh dari bahagian atas tempat duduk, mencetuskan suasana panik dalam kabin.

Pesawat Boeing 737 yang dikendalikan oleh Spring Japan, membawa seramai 191 penumpang dan kru sebelum terpaksa melencong ke Osaka.  Agensi

"Saya terdengar bunyi dentuman perlahan dan beberapa saat selepas itu topeng oksigen jatuh. Pramugari menangis dan menjerit agar kami segera memakainya, memberitahu pesawat mengalami kerosakan," kata seorang lagi penumpang yang masih trauma dengan insiden itu.

Rakaman video yang tersebar menunjukkan penumpang memegang topeng oksigen dengan wajah cemas, manakala kru penerbangan cuba menenangkan keadaan.

Pesawat yang pada mulanya terbang pada ketinggian 36,000 kaki mengalami penurunan drastik ke bawah 10,500 kaki dalam masa hanya beberapa minit, menyebabkan penumpang berasa seolah-olah pesawat akan terhempas.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan selepas pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai sekitar pukul 8:50 malam.

Setiap penumpang telah ditawarkan pampasan sebanyak 15,000 yen (sekitar RM280) serta penginapan semalaman.

Satu siasatan rasmi sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca gangguan sistem tekanan kabin tersebut.

Setakat ini, Japan Airlines dan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun belum mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai insiden berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram