
ISU kesihatan mental dalam kalangan ibu hamil dan selepas bersalin di Nepal semakin membimbangkan apabila statistik terkini menunjukkan enam peratus kematian berpunca daripada perbuatan mencederakan diri sendiri, termasuk membunuh diri.
Beberapa minggu lalu, seorang ibu berusia 26 tahun daripada golongan pekerja dibawa ke Hospital Bersalin dan Wanita Paropakar, Thapathali, Nepal selepas mengalami kesedihan berpanjangan, gangguan tidur serta hilang minat terhadap semua perkara, termasuk bayinya yang baru dilahirkan.
Hasil pemeriksaan pakar mendapati wanita berkenaan mengalami kemurungan selepas bersalin (postpartum depression), satu bentuk masalah kesihatan mental yang serius.
BACA LAGI: 'Mesej setiap hari', wanita dementia lupa arwah suami meninggal dunia 3 tahun lepas
"Kami memberikan ubat antikemurungan kerana pesakit mengalami kebimbangan dan kemurungan yang memerlukan rawatan segera.
"Dia kini menunjukkan tanda pemulihan hasil sokongan kuat ahli keluarga dan mentua," kata Dr Pratikshya Ghimire, pakar psikiatri di hospital berkenaan.
Setiap hari, lebih setengah dozen wanita hamil atau selepas bersalin dirujuk untuk kaunseling psikiatri dan psikologi di hospital tersebut.
Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada wanita bekerja.
Namun tidak semua pesakit bernasib baik menerima rawatan sewajarnya kerana kebanyakan pusat bersalin di seluruh Nepal masih belum menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan mental, menyebabkan ramai ibu terlepas peluang mendapatkan bantuan profesional.
"Petugas kesihatan mungkin menyarankan pesakit mendapatkan rawatan psikiatri, tetapi tidak semua mampu menanggung kos rawatan.
"Jika perkhidmatan ini disediakan secara meluas di hospital bersalin, beribu-ribu wanita pasti mendapat manfaat," jelas Ghimire.
Kajian menunjukkan wanita bekerja mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kemurungan selepas bersalin.
Masalah kesihatan mental itu kini menjadi penyebab kedua tertinggi kematian ibu, selepas tumpah darah dan gangguan tekanan darah semasa hamil seperti pra-eklampsia.
Laporan Kematian Ibu oleh Pejabat Statistik Kebangsaan pada 2022 mendedahkan bahawa kebanyakan kes bunuh diri dalam kalangan ibu berlaku semasa kehamilan.
Sebagai usaha menangani isu ini, Kementerian Kesihatan dan Penduduk dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memulakan perkhidmatan pesakit luar bagi kesihatan mental di Hospital Bersalin bermula Oktober lalu.
Inisiatif itu sepatutnya diperluas ke setiap satu hospital di setiap wilayah Nepal.
"Disebabkan kekangan belanjawan, peluasan perkhidmatan tersebut terpaksa ditangguhkan.
"Kami sedar perkhidmatan ini sangat penting dan mampu menyelamatkan nyawa ramai wanita hamil dan ibu baharu," kata Dr Phadindra Baral dari Bahagian Kawalan Penyakit dan Epidemiologi.
Pakar perubatan percaya masalah mental dalam kalangan wanita hamil lebih serius daripada yang disangkakan, dengan anggaran satu daripada lima wanita terjejas.
Kemurungan boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang kehamilan atau selepas bersalin.
Perubahan hormon, tekanan ekonomi, serta kebimbangan terhadap tanggungjawab baharu turut menyumbang kepada tekanan mental.
Sesetengah wanita mengalami kesedihan melampau, keresahan, keletihan, serta perubahan pola tidur dan selera makan.
Jika dibiarkan, keadaan itu boleh membawa kepada tindakan mencederakan diri.
Dalam kes ibu muda yang dirawat di Hospital Paropakar, dia dilaporkan amat bimbang tentang pekerjaan dan masa depan anaknya, sekali gus menjejaskan kesihatan mental dan kestabilan keluarganya.
Namun dengan rawatan dan sokongan, keadaannya kini semakin stabil.
"Dos ubat akan disesuaikan mengikut perkembangan pesakit," tambah Ghimire.
Pihak berkuasa kesihatan optimis bahawa usaha menyaring wanita hamil dan ibu selepas bersalin daripada segi kesihatan mental serta memberi rawatan segera mampu mengurangkan kadar kematian ibu, yang kini kembali menunjukkan peningkatan.
Nepal sebelum ini mencatat kejayaan mengurangkan kadar kematian ibu daripada 539 per 100,000 kelahiran pada 1996 kepada 239 pada 2016, sekali gus meraih anugerah Matlamat Pembangunan Milenium (MDG).
Laporan banci 2021 pula mencatatkan kadar kematian ibu sebanyak 151 per 100,000 kelahiran hidup, manakala data terkini WHO menunjukkan angka itu menurun kepada 142 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran.
Nepal kini menyasarkan untuk mencapai kadar 75 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran menjelang 2030, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram