
'BUKAN menuntut, tapi untuk hargai keikhlasan.'
Demikian luahan seorang ibu yang berkongsi pengalaman menerima wang pemberian daripada anak sulungnya, hasil gaji yang belum pun mencecah RM2,000.
Dalam satu hantaran di Threads, pengguna @jazzmine_cattleya berkongsi bagaimana anaknya memberikan RM300 sebagai penghargaan, namun beliau hanya menerima RM100.
BACA LAGI: 'Rasa macam kahwin dengan tunggul,' isteri kecewa suami malas layan keluarga, elak jumpa mentua
“Anak sulung saya beri RM300 hari ini daripada gajinya yang tak sampai RM2,000 pun. Saya terima RM100, tapi dia berkali-kali kata, ‘Tak apa, ibu ambil je.
Sampai saya cakap, ‘ibu dan ayah dapat RM50 pun dah cukup buat kami gembira," kongsinya.
Menurutnya, setiap pemberian anak, sama ada besar atau kecil, membawa makna yang besar kerana ia lahir daripada keikhlasan.
Beliau turut menjawab pertanyaan suaminya mengenai sebab beliau menerima pemberian itu.
“Saya cakap, ini sebahagian daripada proses mendidik anak supaya mereka belajar untuk murah hati, tahu membalas budi dan menzahirkan kasih sayang dengan cara mereka sendiri.
"Kita sebagai ibu bapa perlu jadi contoh. Kita bukan di sini untuk menuntut, tapi untuk menghargai keikhlasan dan keprihatinan mereka," jelasnya.
Bagi wanita tersebut, pemberian kecil seperti wang tunai, makanan atau minuman sudah memadai untuk menunjukkan bahawa anak-anak masih mengingatinya dan membuatkan beliau berasa disayangi serta dihargai.
“Bagi saya, RM10, RM50, seketul ayam goreng atau segelas minuman, semua itu cukup untuk tunjuk mereka ingat saya. Itu dah cukup buat saya rasa disayangi dan dihargai," ujarnya.
Sementara itu, beberapa warga maya turut berkongsi pengalaman serta pandangan mereka mengenai pemberian wang anak kepada ibu bapa.
Rata-rata bersetuju bahawa pemberian tidak wajar ditolak kerana ia mencerminkan hasil didikan dan kasih yang ditanam sejak kecil.
“Kami beruntung kerana ada pendapatan sendiri, jadi tak perlukan duit anak. Tapi apabila anak bayar makan, saya tetap rasa sangat bersyukur dan terus doakan rezekinya diluaskan,” kata @royaida955.
Seorang lagi pengguna, @feeza_yusop pula mencadangkan agar ibu bapa menerima pemberian itu dan menyimpannya secara senyap.
“Ambil je dan simpan untuk beliau tanpa pengetahuannya. Apabila tiba masa beliau susah nanti, boleh pulangkan semula. Pasti akan rasa sangat dihargai,” komennya.
Ada juga yang berpendapat, pemberian anak wajar diterima tanpa perlu berlebihan dalam menolak.
“Kalau anak bagi duit, jangan tolak. Ambil, ucap terima kasih. Nak simpan ke, nak guna ke, itu hak ibu bapa. Tapi jangan ditolak, sebab itu hasil didikan kita,” ujar @aqukatsini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram