[VIDEO] Tunggang motor lawan arus di Senai, anak dedah cerita ayah rupanya nyanyuk


  • Tular
  • Selasa, 17 Jun 2025

Tangkap layar video warga emas yang menunggang motosikal secara melawan arus di Senai.

SEORANG warga emas yang menunggang motosikal secara melawan arus di Senai, Johor pada Selasa mengejutkan pengguna jalan raya apabila tindakannya tersebut dirakam dan tular di media sosial. 

Difahamkan, lelaki berusia 80 tahun itu merupakan penghidap penyakit Alzheimer dan rupa-rupanya keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga, selain menerima video ayahnya menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dari kenalan. 

Menurut laporan yang dibuat oleh anak mangsa di Balai Polis Kota Tinggi, Kota Tinggi, Johor, kejadian disedari sekitar pukul 10.20 pagi apabila dia dimaklumkan oleh abangnya bahawa ayah mereka telah keluar dari rumah di Bukit Aping Barat, Kota Tinggi.

BACA LAGI: Sudah 6 minggu berlalu, tiada perkembangan baharu dari polis — Peguam Pamela Ling

BACA LAGI: Polis tahan 2 tokan dadah, rampas RM5.1j, jongkong emas — Pesuruhjaya Polis Sarawak

“Saya juga menerima video dari kenalan mengatakan ayah saya telah menghala ke Johor Bahru. Untuk makluman, ayah saya mempunyai alzheimer dan ini adalah kali pertama dia keluar dengan jarak begitu jauh.

"Dia juga keluar rumah tidak memakai topi keledar. Atas hal ini, saya datang ke balai polis buat laporan bimbang keselamatan ayah saya dan takut jadi apa-apa yang tidak dingini," jelasnya dalam kenyataan polis yang dikongsi oleh laman Facebook, Community Roda Johor - CRJ.

Sebelum ini, video warga emas itu tular di media sosial apabila menunggang motosikal secara melawan arus di laluan utama berhampiran Senai, Johor, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.

Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dengan nombor pendaftaran JT8651, tanpa memakai topi keledar, sambil memasuki laluan bertentangan arah yang sibuk dengan kenderaan.

Insiden itu turut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen yang menzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan warga emas, terutamanya mereka yang mengalami masalah ingatan seperti Alzheimer. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram