Kilang simen era Perang Dunia Pertama transformasi jadi mahligai mewah di Barcelona, setiap sudut ada ceritera


  • Hias
  • Isnin, 23 Jun 2025

La Fabrica membuktikan bahawa senibina tidak semestinya dimulakan dari kosong.

SEBUAH kilang simen lama yang dibina semasa era Perang Dunia Pertama kini berdiri megah sebagai sebuah rumah idaman hasil sentuhan magis seorang arkitek tersohor, Ricardo Bofill.

Terletak di pinggir bandar Barcelona, Sepanyol, kediaman unik yang diberi nama La Fabrica bukan sahaja menjadi tempat tinggal, malah juga pejabat utama firma seni bina milik Bofill.

Segalanya bermula pada 1973 apabila Bofill secara tidak sengaja menemui struktur konkrit terbiar itu yang dulunya berfungsi sebagai bengkel pembaikan semasa perang.

BACA LAGI: Plastik siling L-Box tampak dekoratif, moden, tapi pemilik perlu fikir 2 kali, ini perkongsian pakar

BACA LAGI: Tip dekor pokok hiasan untuk kediaman gaya moden, boho

Bofill secara tidak sengaja menemui struktur konkrit terbiar itu yang dulunya berfungsi sebagai bengkel pembaikan semasa perang.

Bukannya melihat ia sebagai bangunan rosak dan tidak bernilai, beliau terus jatuh cinta pada keunikan serta keanehan ruang-ruang kilang tersebut.

"Tertarik dengan pertentangan dan kekaburan tempat ini, kami cepat-cepat membuat keputusan untuk mengekalkan bangunan ini dan mengubah sejarah asalnya kepada sesuatu karya seni," katanya.

Setiap ruang di dalam rumah itu mempunyai identiti tersendiri.

Estetika sejarah kejam dipandu alam semula jadi

Daripada hanya rangka industri berdebu, La Fabrica kini dilitupi oleh kehijauan seperti rumput, pokok kayu putih, palma dan zaitun, menjadikan ia seolah-olah telah dipulihkan semula oleh alam semula jadi.

Bofill bersama pasukannya bukan sahaja membaik pulih, malah membina bangunan itu mengikut gaya seni bina pascamoden yang menekankan konsep adaptive reuse atau guna semula binaan sedia ada secara kreatif dan lestari.

Setiap ruang di dalam rumah itu mempunyai identiti tersendiri, namun dinding konkrit asal masih dikekalkan sebagai tanda hormat terhadap sejarah dan identiti bangunan itu.

Atmosfera dalamannya pula bersifat ringan dan tenang dengan siling tinggi serta dekorasi minimalis yang memberi fokus kepada ruang terbuka cahaya semula jadi.

"Saya rasa seperti hidup dalam satu alam tertutup yang melindungi saya daripada dunia luar dan kesibukan harian.

"Di sini, kehidupan berjalan dalam rentak tanpa banyak perbezaan antara kerja dan rehat," ujar Bofill.

La Fabrica bukan sahaja menjadi tempat tinggal, malah juga pejabat utama firma seni bina milik Bofill.

Simbol perubahan dan harapan

Dewan utama kilang kini dijadikan ruang persidangan, membuktikan bahawa fungsi asal bangunan tidak terhapus, sebaliknya diberi nafas baharu.

Bofill mengakui bahawa tempat itu memberinya ketenangan dan inspirasi mendalam untuk berfikir secara abstrak sekali gus menjadikan ia bukan sekadar rumah, tetapi ruang kreativiti.

Dengan keluasan sekitar 31,000 meter persegi, La Fabrica kini bukan sahaja kediaman keluarga, malah menjadi simbol global transformasi ruang terbiar kepada sesuatu yang luar biasa.

La Fabrica juga merupakan bukti bahawa senibina tidak semestinya dimulakan dari kosong.

Kadangkala, keindahan dan nilai terletak pada ketidaksempurnaan sejarah yang kita pelihara.

Projek itu membuktikan bahawa keharmonian antara manusia, alam dan masa lalu boleh disatukan melalui rekaan yang bijaksana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram