Plastik siling L-Box tampak dekoratif, moden, tapi pemilik perlu fikir 2 kali, ini perkongsian pakar


  • Hias
  • Isnin, 23 Jun 2025

Walaupun L-Box kelihatan moden dan menarik terdapat beberapa masalah serius boleh menjejaskan estetika kediaman antaranya menjadi sarang serangga. — Gambar hiasan/Freepik

BIARPUN L-Box kelihatan moden dan menarik pada pandangan pertama, terdapat beberapa masalah serius yang boleh menjejaskan keselesaan dan estetika rumah.

Perkara ini dikongsikan oleh The Goods Interior menerusi Instagram mengenai penggunaan plastik siling jenis L-Box dalam reka bentuk dalaman rumah baru-baru ini.

Berikut adalah perkongsian mengapa pemilik rumah perlu berfikir dua kali sebelum memilih plastik siling jenis L-Box.

BACA LAGI: Tip dekor pokok hiasan untuk kediaman gaya moden, boho

BACA LAGI: Dominasi visual struktur Ruang Reka, hasil jalinan harmoni antara nilai moden dan alam semulajadi

1. Jadi sarang serangga, haiwan kecil

Salah satu masalah utama sering dihadapi oleh pemilik rumah yang memilih plastik siling jenis L-Box ialah ia mudah menjadi tempat bersarang bagi cicak dan labah-labah.

Struktur L-Box yang mempunyai ruang kosong dan celah-celah kecil menjadikan ia lokasi ideal untuk haiwan itu berlindung sekali gus membiak.

Keadaan itu bukan sahaja menjengkelkan tetapi boleh menjejaskan kebersihan dan keselesaan rumah.

Kehadiran cicak dan labah-labah dalam siling boleh menimbulkan rasa tidak selamat sekali gus  mengganggu ketenangan penghuni rumah.

2. Sukar diselenggara, baiki lampu

Masalah kedua yang sering dihadapi ialah kesukaran untuk melakukan penyelenggaraan, terutamanya apabila lampu jenis T5 atau kalimantan dipasang dalam L-Box rosak.

Struktur L-Box yang berbentuk kotak dengan ruang tersembunyi menyukarkan akses kepada lampu tersebut.

Jika tiada ahli keluarga yang mahir dalam kerja-kerja elektrik, pemilik rumah terpaksa menunggu bantuan profesional untuk membaiki atau menukar lampu boleh memakan masa.

Tambahan pula, apabila ada lampu yang hidup dan rosak, ia menjejaskan pencahayaan keseluruhan ruang, sekali gus menimbulkan masalah pemandangan.

3. Reka bentuk ruang terasa sempit

Walaupun L-Box kelihatan seperti elemen dekoratif menarik, ia sebenarnya boleh membuatkan ruang siling rumah kelihatan serabut dan sempit.

Struktur berbentuk kotak itu mengambil ruang dan menimbulkan kesan visual yang tidak kemas, terutamanya jika tidak diurus dengan baik.

Rumah yang menggunakan L-Box cenderung kelihatan lebih padat dan kurang luas berbanding dengan siling plastik rata atau diturunkan sedikit di bahagian tertentu seperti di hujung kabinet televisyen rendah.

Ia boleh menjejaskan persepsi ruang dan membuatkan rumah terasa kurang selesa.

4. Penampilan rumah kurang mewah, bergaya

Dari segi estetika, L-Box sebenarnya kurang sesuai dengan gaya rumah moden yang mengutamakan kesederhanaan dan kemewahan minimalis.

Plastik siling rata atau dengan sedikit penurunan di kawasan tertentu memberikan penampilan yang lebih kemas, luas dan elegan.

Selain itu, penggunaan terlalu banyak lampu downlight dalam L-Box juga boleh membuatkan siling kelihatan terlalu sibuk dan tidak harmoni.

Sebaliknya, penggunaan lampu 'pendant' yang sederhana di kawasan seperti meja makan sudah cukup untuk menambah sentuhan mewah dan menarik tanpa perlu berlebihan.

Sebagai ganti plastik siling jenis L-Box, The Goods Interior mencadangkan supaya pemilik rumah memilih plastik siling yang rata sahaja.

Jika mahu ada elemen turun, lakukan secara sederhana di bahagian tertentu seperti hujung kabinet televisyen rendah.

Pilihan itu bukan sahaja memudahkan penyelenggaraan dan pembersihan, malah rumah akan kelihatan lebih luas, kemas, dan mewah.

Penjagaan lampu juga lebih mudah tanpa perlu risau tentang ruang tersembunyi yang menyukarkan akses. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram