Inovasi 'eco-composite', piuter boleh dikitar semula, inisiatif tingkat gaya hidup lestari hiasan rumah, cenderamata


  • Hias
  • Jumaat, 13 Jun 2025

Royal Selangor juga memelihara warisan perlombongan timah negara dengan menawarkan akses percuma ke Pusat Pelawat di Kuala Lumpur.

ROYAL Selangor mengorak langkah dalam komitmennya terhadap kelestarian dengan melancarkan Eco Week 2025.

Kempen berlangsung selama dua minggu itu menampilkan pelbagai aktiviti mesra alam, pendidikan dan seni kreatif bagi memberi tumpuan kepada pemeliharaan alam sekitar dan spesies terancam.

Menurut Pengarah Urusan Royal Selangor, Datuk Yong Yoon Li, kelestarian merupakan inisiatif yang dilaksanakan pihaknya dari semasa ke semasa.

BACA LAGI: ‘Batch SPM 08 memang tertekan’, ibu pelajar calon SPM ingatkan anak bukan robot, jangan salah langkah elak tragedi di Melaka berulang

BACA LAGI: Inspirasi kreatif sarat elemen rekaan luar biasa, 5 rumah rekaan unik, ada di Kelantan, Janda Baik

"Kelestarian bukan sekadar inisiatif sementara, ia sudah menjadi asas cara kami beroperasi.

"Kami mahu setiap produk dan proses kami meninggalkan impak positif terhadap alam dan masyarakat," kata Yong Yoon pada Majlis Pelancaran Eco Week 2025 di Pusat Pelawat Royal Selangor, Kuala Lumpur, Jumaat.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. Turut hadir ialah Naib Presiden RIMAU, David Mizan Hashim.

Sebagai peneraju industri kraftangan piuter sejak lebih satu abad lalu, Royal Selangor kini menggunakan piuter yang boleh dikitar semula sepenuhnya.

Aloi itu disumberkan secara eksklusif daripada Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC), diiktiraf oleh Responsible Minerals Initiative (RMI) sebagai penapis bertanggungjawab.

Royal Selangor kini menggunakan piuter yang boleh dikitar semula sepenuhnya.

Bagi produk berasaskan kayu pula, Royal Selangor menggunakan bahan daripada hutan bersijil Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC) dalam usaha untuk memastikan hasil hutan diperoleh mengikut standard ekologi dan sosial ketat.

Bukan itu sahaja, langkah proaktif juga diambil dalam pengurusan tenaga sejak 2019, apabila hampir 3,000 panel solar dipasang di tapak Royal Selangor.

Panel tersebut kini menjana 870 kilowatt tenaga bersih setiap hari, mencukupi untuk mengoperasikan kilang serta pusat pelawat, malah tenaga lebihan turut disalurkan semula ke grid nasional.

Inovasi lain termasuk eco-composite, bahan gabungan habuk kayu dan resin yang selamat untuk makanan, kini digunakan dalam rangka gambar, alas cawan serta barangan cenderamata.

Antara koleksi barangan teko teh daripada Royal Selangor.

Pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan sisa, malah menghasilkan corak marble kayu yang unik dan elegan.

"Sejak 2021, kami membangunkan resin khas yang diperbuat daripada gabungan kotak kartun terpakai dan plastik kitar semula untuk menghasilkan pelbagai produk pembungkusan dan paparan kami.

"Setiap tahun, kami mengumpul lebih tiga tan bahan ini daripada kotak kartun gambar sehingga pembungkus produk. Ini bukan sahaja mengurangkan sisa, tetapi juga menjadikan setiap kotak yang kami hasilkan lebih bermakna secara alam sekitar.

"Kami juga sentiasa menilai semula cara kami menghantar produk ke seluruh dunia, termasuk bekerjasama rapat dengan rakan logistik seperti DHL untuk mencari penyelesaian lebih mampan," jelas Yong Yoon lanjut.

Sudu teh hasil rekaan Royal Selangor.

Royal Selangor turut menukar pembungkusan konvensional mereka kepada kotak flat-pack dengan kertas sarang lebah biodegradable, menggantikan buih plastik yang mencemarkan.

Langkah itu bukan sahaja menjimatkan ruang penghantaran, tetapi juga mengurangkan pelepasan karbon dalam rantaian logistik.

Dalam penghasilan produk, piuter lebihan, barangan rosak, acuan lama dan prototaip yang tidak digunakan akan dilebur semula untuk dikitar sepenuhnya sekali gus menjadikan setiap produk baharu lahir daripada sisa dipulihkan.

Royal Selangor juga memelihara warisan perlombongan timah negara dengan menawarkan akses percuma ke Pusat Pelawat di Kuala Lumpur, lengkap dengan demonstrasi langsung, bengkel kraf dan pameran interaktif yang menerangkan perjalanan sejarah jenama ini sejak 1885.

Royal Selangor turut menghasilkan barangan antik sumber inspirasi dari China.

Sebagai sebahagian daripada kempen itu, Royal Selangor turut menayangkan dokumentari khas bertajuk “Malaysia’s Last Tigers: The Battle to Save the Malayan Tiger” di Wall of Frames, Pusat Pelawat Royal Selangor.

Filem berdurasi 48 minit itu membawa penonton menyelami realiti menyayat hati tentang nasib Harimau Malaya serta cabaran pemuliharaan di lapangan.

"Dokumentari itu mengingatkan kita bahawa tanpa harimau, seluruh ekosistem boleh runtuh," kata David Mizan Hashim dari RIMAU.

Fokus utama kempen yang berlangsung dari 13 hingga 29 Jun 2025 di Pusat Pelawat Royal Selangor itu juga adalah untuk menyelamatkan populasi Harimau Malaya yang kian pupus sambil membina kesedaran tentang kepentingan gaya hidup lebih lestari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram