
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berdepan kritikan hebat daripada warganet susulan tularnya beberapa kandungan media sosial yang memaparkan kemasukan warga asing, khususnya dari Indonesia ke Malaysia secara haram dengan mudah dan tanpa halangan ketara.
Beberapa video yang dimuat naik di platform seperti TikTok menunjukkan individu-individu terbabit dengan berani menceroboh masuk melalui laluan laut tanpa dokumen sah, malah ada yang menjadikan tindakan mereka sebagai kandungan hiburan untuk tontonan umum.
Lebih mengejutkan, bukan hanya satu atau dua akaun TikTok yang berkongsi kandungan sebegitu rupa tetapi semakin banyak hantaran sebegini muncul, seolah-olah mencabar kedaulatan dan sistem kawalan sempadan negara.
BACA LAGI: Mahkamah Tinggi benar Pamela Ling cabar penahanan, larangan perjalanan dikenakan SPRM-Imigresen
BACA LAGI: Imigresen laksana prosedur pemeriksaan menyeluruh ke atas pelancong asing semasa ketibaan
"Pengangkutan illegal. Bergerak dari Selangor, Malaysia menuju Riau atau Medan, Indonesia. Perjalanan selama dua hari sekali," kongsi akaun TikTok, Speeboat_TKI.
"Raja Aceh, tiga jam sampai tanah air," penerangan dari video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, Bangrajaaceh.
"Keluar-masuk, Malaysia-Indonesia. Aman dan amanah," kapsyen yang ditulis oleh egi.speedaceh.
Lebih teruk lagi apabila salah satu akaun yang mempromosi kegiatan haram itu mendakwa bahawa mereka tidak akan dikenakan apa-apa tindakan susulan 'wang suapan' sudah diberikan kepada pihak berkuasa Malaysia.
Tangkap layar komen mengenai dakwaan terhadapan APMM.
Melihat video promosi perkhidmatan itu, warganet turut meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap apa yang dilihat sebagai kelemahan pihak berkuasa dalam membendung isu pendatang asing tanpa izin (PATI).
Bukan itu sahaja, mereka turut mempertikaikan tahap pemantauan di kawasan perairan serta keberkesanan operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh jabatan berkenaan.
Setakat laporan ini ditulisa, pihak APMM dan agensi keselamatan berkaitan belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut. Namun, desakan agar tindakan segera dan lebih tegas diambil semakin meningkat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram