
PERANAN wanita dalam ibadah haji banyak berubah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya sumbangan mereka dalam salah satu perhimpunan manusia terbesar di dunia.
Salah seorang wanita yang memberi inspirasi dalam ibadah haji ialah profesor di Universiti Umm Al-Qura, Mekah, Dr. Alyaa Malibari.
Beliau mendedikasikan kerjayanya untuk menambah baik pengalaman jemaah haji di samping memperkasakan wanita lain.
BACA LAGI: Jangan pandang remeh, elak kongsi alat peribadi ini walau sesama ahli keluarga
Sejak dahulu, golongan wanita sudah memainkan peranan penting semasa ibadah haji. — Agensi
Beliau juga bekerjasama dengan beberapa pengendali untuk menjalankan kursus kepada orang awam yang berminat menjadi sukarelawan semasa musim haji.
Selain itu, beliau turut mencipta program Qaidat, iaitu satu inisiatif kepimpinan wanita bagi memperkenalkan mereka kepada pelbagai peranan dan tanggungjawab.
Satu lagi program, Hunna, projek yang diketuai oleh wanita selaras dengan Wawasan 2030 dan memberi fokus kepada amalan inovatif semasa haji.
Sementara itu, program Aguadyat memberi peluang kepada wanita dalam bidang keselamatan makanan bagi memastikan kualiti makanan kepada jemaah terus terjaga.
Sejak dahulu, wanita sudah memainkan peranan penting dalam haji seperti menyambut jemaah, menyediakan makanan dan menyampaikan ilmu agama.
Kini, peranan mereka semakin luas seiring dengan peningkatan tahap pendidikan dan kerjaya.
Beliau menjadi tokoh penting dalam perkembangan ini. Dengan latar belakang dalam bidang latihan kepimpinan dan komunikasi, beliau memulakan perjalanannya sejak kecil selepas terinspirasi oleh semangat keluarganya yang sentiasa berkhidmat untuk jemaah.
"Kenangan awal saya tentang haji dipenuhi dengan rasa kagum terhadap ayah dan kerja yang beliau lakukan. Saya memang tahu sejak kecil yang saya juga mahu menyumbang," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa memperkasakan wanita adalah satu komitmen sepanjang hayat.
"Saya mahu pastikan wanita mempunyai ilmu dan kemahiran yang cukup untuk cemerlang ketika musim haji."
Dr. Alyaa pertama kali merasai suasana haji ketika berusia lima tahun apabila menemani ayahnya.
Penglibatan rasminya bermula pada tahun 2005 apabila beliau menjadi sukarelawan bersama Persatuan Wanita di Universiti Umm Al-Qura bagi membantu jemaah wanita.
Pengajian beliau di luar negara turut memberinya peluang untuk memperkenalkan kepada dunia usaha Arab Saudi dalam melayani jemaah haji.
"Bagi saya, amat penting untuk berkongsi kisah kita dengan dunia dan menunjukkan kesungguhan mereka yang berkhidmat," katanya.
Pada tahun 2019, Dr. Alyaa mengetuai satu projek terjemahan di bawah Kementerian Media dengan menghasilkan kandungan dalam pelbagai bahasa untuk memudahkan komunikasi dengan jemaah.
Selain sumbangannya ketika musim haji, Dr. Alyaa juga merupakan seorang doktor dan ahli akademik yang sangat komited.
Beliau menekankan kepentingan pendidikan dan mahu memberi inspirasi kepada generasi pemimpin yang akan datang.
"Pendidikan ialah kunci untuk membuka potensi diri. Saya mahu pelajar-pelajar saya sedar bahawa mereka juga boleh membawa perubahan," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram