Dari pulau Capri ke Mykonos, butik 'pop-up' Dioriveira kini berlabuh di Pulau Pinang, acara fesyen pertama seumpanya di Malaysia


  • Gaya
  • Selasa, 03 Jun 2025

Dior mendekati pelanggan melalui penganjuran butik sementara yang bersifat 'immersive' dengan hiasan dalaman serba unik.

Berita menggembirakan buat peminat fesyen mewah! Acara eksklusif Dioriveira akan berlangsung buat pertama kali di Pulau Pinang dari 13 Jun hingga 11 Ogos 2025.

Berlokasi di Macalister Mansion, acara pop-up anjuran jenama mewah Dior ini turut dilaporkan sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia. 

Butik sementara ini bakal menghidangkan koleksi pakaian serta aksesori musim panas yang diinspirasikan oleh keindahan persisiran pantai Perancis, French Riviera. 

BACA LAGI: Nak beli rumah pertama? Ketahui 10 tip ini untuk elak tersilap langkah dan menyesal di kemudian hari

BACA LAGI: Bina legasi sejak kecil, 3 usahawan wanita Cik Siti Wan Kembang asas empayar perniagaan moden  

Penuh dengan pakaian berpotongan santai dan corak Toile de Jouy yang kian menjadi motif signatur Dior, pengunjung dijangka dapat menyaksikan dengan lebih dekat rekaan terkini dari koleksi Dioriviera termasuk pakaian siap pakai, aksesori, barangan kulit dan pilihan dekorasi rumah yang memancarkan aura musim panas yang glamor.

Dekorasi butik sementara Dior ini pastinya menjadi salah satu daya tarikan utama.

Macalister Mansion, sebuah bangunan kolonial bersejarah yang telah diubah suai menjadi butik hotel mewah, dipilih sebagai lokasi kerana mencerminkan keanggunan yang selaras dengan identiti jenama Dior. 

Suasana tropika dan warisan seni bina Pulau Pinang turut menyediakan latar belakang unik kepada pengalaman membeli-belah penuh bergaya ini.

Fenomena global

Siri pop-up Dioriviera bukanlah asing di pentas antarabangsa. Sebelum ini, konsep eksklusif ini telah menjelajah beberapa destinasi ikonik seperti di Beverly Hills, Amerika Syarikat. Berlangsung pada September 2023, pop-up Dioriviera telah mengambil alih kolam renang di Hotel Beverly Hills yang ikonik.

Di pantai-pantai percutian ternama Eropah, pop-up Dioriviera pernah berlabuh di Capri, Itali yang menampilkan butik tepi tebing menghadap Laut Mediterranean. Di Mykonos, Greece pula, butik sementara dihiasi dekorasi putih biru yang serasi melengkapi landskap pulau Aegean.

Di Asia, pop-up Dioriviera pernah diadakan di Seoul, Korea Selatan dan Tokyo, Jepun. Konsep 'rooftop' menghidangkan panorama Seoul sebagai kota metropolitan, manakala butik Omotesando di Tokyo menggabungkan unsur timur dan barat.

Kehadiran pop-up di lokasi-lokasi eksklusif ini menandakan strategi Dior untuk mendekati pelanggan melalui pengalaman butik yang bersifat peribadi, 'immersive' dan berprestij.

Pengumuman terbaharu Dior mengenai pop-up Dioriviera di Macalister Mansion, Pulau Pinang pastinya mengujakan ramai peminat fesyen tempatan.

Pendaftaran untuk orang awam kini telah dibuka. Jangan lepaskan peluang kerana tempat adalah terhad dan masa lawatan adalah berdasarkan pendaftaran awal.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari laman rasmi Dior Malaysia atau ikuti akaun media sosial rasmi @Dior untuk kemas kini terkini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram

Artikel Berkaitan: