
DALAM kehidupan moden yang penuh cabaran, permintaan anak-anak terhadap barangan seperti mainan atau aktiviti hiburan sering kali menguji keupayaan kewangan ibu bapa.
Namun, pakar menasihati agar frasa seperti 'Ibu dan ayah tidak ada duit' dielakkan ketika menjawab permintaan anak-anak, demi membentuk sikap kewangan yang sihat sejak awal usia.
Menurut laporan Go Banking Rates, kenyataan seperti itu boleh mencetuskan mentaliti kewangan negatif dalam kalangan kanak-kanak.
BACA LAGI: [VIDEO] Supermodel Britain turun Malaysia demi misi selamatkan harimau Malaya daripada terus pupus
Ia memberi gambaran seolah-olah ibu bapa tidak mampu mengawal kewangan sendiri, sekali gus menanam persepsi bahawa wang adalah penghalang utama dalam hidup.
Lebih membimbangkan, ia turut meletakkan ibu bapa dalam kedudukan sebagai ‘mangsa keadaan’, bukan sebagai individu yang bertanggungjawab dan bijak dalam membuat keputusan kewangan.
Justeru, pendekatan itu boleh melemahkan imej ibu bapa di mata anak-anak.
Ibu bapa digalakkan untuk menerangkan bahawa mereka sedang membuat pilihan berdasarkan perancangan masa depan. — Gambar Hiasan
Tinjauan Tahunan Ibu Bapa, Kanak-kanak dan Wang T. Rowe Price 2014 pula mendapati 28 peratus ibu bapa mengaku pernah berbohong kepada anak mereka mengenai hal kewangan, lazimnya untuk mengelak daripada menjawab soalan-soalan sukar berkaitan pendapatan atau perbelanjaan keluarga.
Dipetik daripada Forbes, tindakan berbohong tentang wang boleh membawa kesan jangka panjang yang negatif termasuk membentuk tanggapan bahawa berbohong adalah cara yang boleh diterima untuk mengelak masalah kewangan.
Kanak-kanak juga mungkin membesar dengan kepercayaan bahawa menyembunyikan kebenaran adalah satu amalan yang normal.
Ibu bapa perlu menggunakan perkataan yang betul kepada anak-anak.
Menurut pakar keibubapaan dan penulis buku 13 Things Mentally Strong Parents Don’t Do, Amy Morin, ibu bapa sepatutnya menunjukkan kepada anak-anak bahawa mereka mempunyai kawalan terhadap keputusan kewangan.
Katanya, jika sesuatu barangan berada di luar kemampuan pada masa tertentu, ibu bapa digalakkan untuk menerangkan bahawa mereka sedang membuat pilihan berdasarkan keutamaan dan perancangan masa depan.
“Apabila ibu bapa membantu anak-anak membentuk tabiat kewangan yang bijak, mereka akan belajar bahawa jika sesuatu yang diinginkan tidak mampu dimiliki sekarang, ia boleh dicapai melalui perancangan dan simpanan,” katanya seperti dilaporkan CNBC.
Sebagai alternatif kepada frasa 'kami tidak ada duit', ibu bapa boleh menggunakan ayat yang lebih mendidik dan positif seperti:
“Ibu dan ayah sedang menyimpan untuk percutian keluarga nanti, jadi kita tangguhkan dahulu beli mainan ini.”
“Kami memutuskan untuk gunakan duit ini bagi membayar komitmen penting keluarga.”
“Kalau adik betul-betul nak pergi taman tema, kita boleh rancang dan mula menyimpan bersama-sama.”
Kata kunci seperti 'memilih' dan 'memutuskan' dalam ayat-ayat itu menunjukkan bahawa ibu bapa sedang membuat keputusan bijak, bukan terpaksa mengalah kerana kekurangan wang.
Pendekatan itu secara tidak langsung mendidik anak-anak tentang nilai wang, kepentingan perancangan dan keutamaan dalam kehidupan.
Dalam era ekonomi yang semakin mencabar, pendidikan kewangan seawal usia adalah satu keperluan.
Kasih sayang ibu bapa tidak semata-mata ditunjukkan melalui pemberian barangan, tetapi juga melalui bimbingan membina karakter dan kebijaksanaan dalam mengurus kewangan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram