Walau sudah 74 tahun dalam industri seni, Rosnani Jamil tidak pernah letih timba ilmu


  • Sukses
  • Isnin, 26 Mei 2025

Sepanjang hidupnya, beliau memegang teguh kepercayaan bahawa pendidikan dan pembelajaran berterusan adalah kunci untuk kekal relevan dalam dunia hari ini tanpa mengira usia.

MESKIPUN sudah tidak lagi aktif di hadapan kamera, pelakon veteran Datuk Rosnani Jamil atau lebih mesra dikenali sebagai Mak Nani masih mempunyai semangat yang tinggi terhadap dunia seni dan berbesar hati untuk berkongsi ilmu serta pengalamannya.

Dengan lebih 74 tahun pengalaman dalam industri perfileman, wanita berusia 90 tahun itu terus mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat kerana baginya, usia bukanlah penghalang untuk terus berkembang dan kekal relevan.

Pernah membintangi filem klasik Ibu bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Mak Nani percaya bahawa seseorang itu tidak seharusnya berhenti belajar hanya kerana usia semakin meningkat.

BACA LAGI: [VIDEO] Peminat sanggup bergaduh demi patung Labubu jadi punca Pop Mart terpaksa henti jualan sementara waktu

BACA LAGI: Elak bayi kena komplikasi batuk kokol, KKM tawar vaksin Tdap percuma buat wanita hamil

KUALA LUMPUR, 14 Mei — Primadona Filem Melayu Klasik, Datuk Rosnani Jamil beramah mesra bersama tetamu ketika hadir berkongsi pengalaman dalam bidang perfileman semasa Siri Sembang-Sembang Sejarah, Persatuan Sejarah Malaysia di Dewan Aminuddin Baki, Wisma Sejarah hari ini.-- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mak Nani menggalakkan golongan muda untuk kekal tabah dalam mengejar impian mereka. 

Sepanjang hidupnya, beliau berpegang pada prinsip bahawa pendidikan dan pembelajaran yang berterusan adalah kunci untuk terus relevan dalam dunia yang sentiasa berubah.

“Saya banyak membaca novel dan artikel ringkas dalam talian.Ia membantu minda saya kekal tajam dan aktif,” katanya.

Mak Nani juga berkongsi beberapa amalan gaya hidup sihat yang diamalkannya untuk kekal bertenaga.

Antaranya adalah sentiasa bergaul dengan orang ramai dan tidak mengasingkan diri daripada masyarakat.

Mengenang kembali perjalanan seninya yang bermula sejak usia 17 tahun, Mak Nani berkata, beliau tidak pernah meletakkan had pada kebolehan diri dan sentiasa mencabar dirinya untuk mencuba perkara baharu.

Semangat itulah katanya yang membuka jalan untuk beliau menjadi pengarah filem wanita pertama di Malaysia, sekali gus menjadi satu pencapaian luar biasa bagi wanita pada zamannya.

“Saya tekad untuk belajar Bahasa Inggeris semata-mata untuk faham istilah dalam dunia perfileman. Saya sanggup ambil kelas malam dan naik bas semata-mata untuk belajar,” katanya sambil mengimbas kenangan ketika beliau meluangkan masa di bilik suntingan semasa waktu rehat untuk melihat proses penyuntingan dan belajar secara langsung daripada editor.

Pada tahun 1992, beliau sekali lagi mengambil langkah berani dengan terbang ke London untuk menambah ilmu dalam bidang perfileman.

Walaupun berjauhan daripada keluarga, beliau memanfaatkan peluang tersebut dengan mengikuti kursus pendek dalam solekan filem semata-mata untuk mendalami ilmu dalam bidang tersebut.

Berdasarkan pengalamannya sepanjang hayat, Mak Nani menyarankan golongan muda supaya terus berusaha mencapai impian mereka.

“Kalau kita bekerja dalam mana-mana bidang, kita mesti ada matlamat dan arah tuju yang jelas. Jangan hadkan diri pada kemampuan yang sedia ada. Teruskan belajar untuk kekal relevan dalam industri ini,” ujarnya.

Walaupun tidak lagi aktif di set penggambaran, semangat cintanya terhadap seni tetap membara dan beliau masih menyumbang kepada perkembangan dunia filem tempatan.

“Saya masih belajar dan akan terus belajar. Ini tanggungjawab saya untuk menyampaikan ilmu kepada generasi muda supaya mereka boleh meneruskan legasi seni kita,” tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram