
NAMA pelukis muda, Diya Mellycka Saniboey menjadi bualan ramai selepas videonya menghasilkan potret pelakon terkenal, Hairul Azreen menarik perhatian rata-rata pengguna media sosial.
Video berdurasi kurang seminit itu memaparkan Diya, yang juga merupakan anak kepada penerbit tersohor tanah air, Datuk Saniboey Mohd Ismail tekun melukis wajah Hairul hanya menggunakan pensel di atas kanvas bersaiz besar.
Tanpa sebarang bantuan teknologi moden mahupun warna, lukisan yang dihasilkan tampak luar biasa iaitu realistik, ekspresif dan penuh jiwa.
BACA LAGI: [VIDEO] Supermodel Britain turun Malaysia demi misi selamatkan harimau Malaya daripada terus pupus
Apa yang menjadikan karya itu begitu istimewa adalah kehalusan setiap garisan yang dilakar.
Dari bentuk mata hingga ke bayangan halus di pipi, setiap inci potret itu dikerjakan dengan cermat.
Sorotan paling memukau adalah pada bahagian mata yang seakan hidup, memandang tepat ke arah penonton sehingga memberikan impak mendalam seolah-olah potret itu ‘bernyawa’.
Menurut Diya, potret tersebut bukan sekadar hasil seni, tetapi satu penghormatan terhadap kisah perjalanan hidup Hairul Azreen.
"The Best Never Rest. Graphite on Canvas.
"Satu penghormatan untuk melukis Abang Hairul sejak beberapa bulan lalu. Saya gembira lukisan ini dapat merakam nostalgia semasa dia buat kerja cat di jalan, sebelum dia berkembang menjadi seorang pelakon yang berjaya.
"Dia benar-benar memberi inspirasi, sungguh. Terima kasih banyak kerana mempercayai saya sepenuh hati dengan karya ini," katanya menerusi kapsyen.
Video tersebut turut dikongsi oleh bapanya, Datuk Saniboey di media sosial sebagai tanda bangga dan sokongan terhadap bakat luar biasa anaknya itu.
Pelakon filem Paskal itu juga sempat berkongsi rasa terharunya apabila melihat potret dirinya dilukis dengan begitu teliti dan penuh makna.
"Kenangan kerja cat jalan memberi seribu satu makna untuk saya. ‘The Best Never Rest’ adalah quote yang saya pegang untuk kejar segala impian.
"Terima kasih untuk lukisan yang cantik ni. Anak abang Saniboey hebat melukis. Walaupun masa ni bicep saya kecik lagi,” tulis Hairul berseloroh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram