
TIDAK dinafikan, makanan segera kini menjadi pilihan ramai buat seisi keluarga.
Dek kerana kesibukan dengan rutin harian, segelintir ibu bapa tidak dapat meluangkan masa untuk menunjukkan kepada anak-anak tentang nilai sebenar sebuah hidangan, bukan sekadar rasa, tetapi juga sumbernya.
Namun, pelakon dan usahawan Hanis Zalikha, 35, menunjukkan pendekatan berbeza selepas beliau mengambil peluang hujung minggu untuk mendidik anak-anaknya mengenai kepentingan memilih bahan masakan yang segar dan asli.
Menerusi satu hantaran video di Instagramnya, Hanis berkongsi detik istimewa bersama dua anaknya, Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah ketika mereka menyediakan menu beef cottage pie bersama di dapur.
BACA LAGI: Sejak kecil jual pelekat di sekolah, kemoterapi tak halang Elyana bereksperimentasi dalam F&B
Menariknya, mereka menggunakan sepenuhnya bahan-bahan segar seperti kentang, tomato ceri dan susu segar.
"Waktu hujung minggu adalah waktu untuk memasak dengan anak-anak menggunakan bahan segar dan semula jadi supaya mereka lebih menghargai kebaikan bahan-bahan tersebut," tulisnya dalam kapsyen video berkenaan.
Beliau yang juga isteri kepada pelakon Hairul Azreen turut menekankan nilai pendidikan awal terhadap anak-anak agar memahami bahawa makanan yang sihat datangnya dari pasar, ladang dan kasih sayang, bukan dari senarai ramuan yang panjang dan diproses.
"Hanis ajar mereka bahawa hidangan makanan datang dari pasar, ladang dan kasih sayang, bukan dari senarai ramuan," ujarnya.
Menurut Hanis lagi, memasak bersama anak-anak mungkin kelihatan mencabar, namun di situlah wujudnya keseronokan dan pembelajaran yang sebenar.
Apa yang dilakukan oleh Hanis bukan sahaja mengasah kemahiran anak-anak, malah menjadi ruang untuk mencipta kenangan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Tidak hanya itu, ia juga dapat memberi pendedahan kepada anak-anak berkaitan kepentingan penyediaan makanan yang berasaskan bahan mentah semula jadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram