[VIDEO] Isteri boleh saman 'orang ketiga' ganggu rumah tangga? Ketahui prosedur di Mahkamah Syariah


  • Cinta
  • Khamis, 22 Mei 2025

Ketahui hak yang boleh diambil seorang jika berdepan gangguan pihak ketiga.

ISU gangguan oleh orang ketiga dalam rumah tangga bukan perkara baharu, namun ia masih menjadi persoalan besar dalam kalangan wanita terutamanya para isteri yang menghadapi situasi sebegitu.

Adakah seorang isteri boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita lain yang mengganggu suaminya?

Soalan itu sering menjadi tanda tanya dalam masyarakat terutama apabila konflik rumah tangga melibatkan orang ketiga.

BACA LAGI: 'Jangan cepat emosi, elak menyesal kemudian hari', kahwin kontrak selepas talak 3 dianggap tak sah, dilaknat Tuhan — Peguam Syarie

BACA LAGI: Bekas suami maki dan fitnah di media sosial? Ini tindakan undang-undang boleh diambil yang ramai wanita tidak tahu

Muhammad Amirul Akmal merupakan pengamal undang-undang syariah di Firma Tetuan Amirul Akmal & Associates.

Menjawab persoalan itu, Peguam Syarie Negeri Selangor merangkap Panel Hakam Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Muhammad Amirul Akmal Ismail menjelaskan bahawa di Mahkamah Sivil tiada prosedur khusus untuk kes gangguan oleh pihak ketiga.

Namun begitu, Mahkamah Syariah menyediakan ruang bagi tindakan di bawah kesalahan gangguan orang ketiga.

Muhammad Amirul Akmal berkata, tindakan atau aduan yang diambil mestilah disokong dengan bukti yang kukuh.

Katanya, satu bentuk gangguan yang boleh dipertimbangkan untuk tindakan penguatkuasaan agama adalah apabila seseorang wanita cuba menggoda, tetapi si suami tidak melayan.

“Contohnya jika seorang wanita menghantar mesej atau gambar berunsur menggoda, tetapi si suami langsung tidak membalas atau melayan dan semua itu dapat dibuktikan (melalui tangkap layar dan sebagainya), maka pihak penguatkuasa boleh mengambil tindakan,” katanya.

Namun, jika si suami juga memberi respon dan melayan godaan, kes seumpama itu sukar untuk dibawa ke mahkamah kerana dianggap sebagai hubungan sukarela antara kedua-duanya.

Isteri boleh membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Negeri jika berdepan gangguan pihak ketiga.

Muhammad Amirul Akmal berkata, dalam kes-kes seperti itu, pihak berkuasa agama berdepan cabaran besar untuk mengambil tindakan.

“Kalau dua-dua pihak saling berhubungan,dan lebih-lebih lagi jika mereka sebenarnya sudah bernikah di luar negara seperti Thailand, ia menjadi semakin sukar untuk didakwa.

"Apatah lagi jika pihak ketiga itu mungkin sudah pun menjadi isteri yang sah secara sembunyi,” katanya merujuk kes-kes terkenal yang pernah tular sebelum ini.

Apa tindakan boleh diambil?

Untuk kes gangguan yang sahih, isteri boleh membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Negeri melalui bahagian penguatkuasaan atau pendakwaan.

Amirul berkata, bukti seperti rakaman audio, mesej bertulis atau tangkap layar komunikasi boleh digunakan untuk menyokong aduan.

Selain itu, tindakan sivil juga boleh diambil, seperti saman terhadap pihak ketiga sebagaimana pernah dilakukan oleh beberapa selebriti tanah air dalam kes berprofil tinggi.

Jelasnya, ramai tidak sedar bahawa undang-undang syariah memberi perlindungan terhadap pasangan yang diganggu oleh pihak ketiga, asalkan aduan dibuat dengan berlandaskan bukti yang kukuh.

"Kita tidak boleh hanya buat dakwaan kosong. Tanpa bukti, mahkamah tidak akan dapat bertindak,” tegasnya.

Muhammad Amirul Akmal turut menekankan bahawa masyarakat sering tersalah anggap mengenai konsep 'orang ketiga' hanya merujuk kepada kekasih gelap.

Sebaliknya, gangguan juga boleh datang daripada mertua, adik-beradik, rakan sekerja, jiran atau sesiapa yang masuk campur urusan rumah tangga hingga menjejaskan hubungan suami isteri.

"Apa-apa bentuk gangguan yang menyebabkan seorang suami atau isteri gagal melaksanakan tanggungjawabnya boleh dianggap sebagai gangguan orang ketiga.

“Contohnya, jika ibu mentua menghasut anak lelaki supaya mengabaikan isterinya atau melarang suami menjalankan tanggungjawabnya, itu juga boleh dikategorikan sebagai gangguan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram