[VIDEO] 'Bukan sekadar gelang, tetapi simbol kasih sayang,' Catriona Ross sebak terima hadiah Hari Ibu daripada anak autisme


  • Bonda
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Catriona Ross terharu menerima hadiah berupa gelang kecil daripada anaknya yang menghidap autisme.

PELAKON dan personaliti televisyen, Catriona Ross mencuri perhatian ramai apabila berkongsi detik penuh emosi sempena sambutan Hari Ibu bersama anak lelakinya yang menghidap autisme, Jammal Al Raess.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di Instagram miliknya, pemilik nama sebenar Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross itu menceritakan tentang anaknya yang pulang dari sekolah dengan seutas gelang kecil dan sekeping kad ucapan hasil bantuan guru di sekolah, khas untuk dirinya sebagai tanda penghargaan sempena Hari Ibu.

"Beberapa hari lalu, anak saya yang autistik pulang ke rumah dengan hadiah yang dibuat dengan bantuan Cikgu Syaza dan Encik Nazrul. 

"Saya pandang gelang itu dan hati saya terus sebak. Ia bukan sekadar hadiah tetapi ia adalah hasil usaha dia, kebanggaan dia dan rasa bahagia di matanya bila saya ucap terima kasih. Detik itu sangat bermakna buat saya,” katanya.

BACA LAGI: Bukan setakat 'handmade card', si kecil kongsi cara tersendiri hargai insan tersayang sempena Hari Ibu

BACA LAGI: Bekas suami maki dan fitnah di media sosial? Ini tindakan undang-undang boleh diambil yang ramai wanita tidak tahu

Kad ucapan yang ditulis Jammal turut tertulis mesej ringkas yang menyentuh hati iaitu, 'Happy Mother Days Mummy' dengan lukisan simbol hati berwarna merah. 

Momen itu bukan sahaja mengharukan Catriona, malah turut menyentuh hati ribuan warganet yang menonton.

Catriona turut menzahirkan penghargaan kepada para pendidik yang membantu anak-anak istimewa seperti Jammal.

“Apa sahaja daripada anak-anak, saya percaya ia terlalu istimewa. Apatah lagi daripada seorang anak under the spectrum. Dia tahu dia beri saya hadiah. Terima kasih kepada mereka yang bantu anak-anak istimewa ini di sekolah,” tambahnya lagi.

Guru yang terlibat, Cikgu Syaza tidak menyangka gelang itu menjadi pengikat kasih sayang antara ibu dan anak. 

"Terharunya baca ni… Tak sangka gelang kecil tu jadi simbol kasih sayang anak dan ibu. Terima kasih sebab kongsi momen ni, we feel your coziness. Selamat Hari Ibu, selalu," katanya. 

Rata-rata pengguna media sosial memuji hubungan erat antara Catriona dan anaknya yang terzahir dalam bentuk hadiah kecil itu.

"Awwwwhhh comelnya kakak the bracelet," tulis Marlinaiskandarrr.

"Alhamdulillah anak syurga hensem dia, semoga sihat selalu,” kata Ridzokumura.