Permintaan ibu bapa, pendidik dorong kaji semula UPSR-PT3 — Fadhlina Sidek


  • Massa
  • Khamis, 15 Jan 2026

Kerajaan mengambil maklum permintaan serta pandangan ibu bapa dan warga pendidik berhubung keperluan memperkenalkan semula UPSR dan PT3. — Gambar hiasan

KAJIAN mengenai keperluan memperkenalkan semula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dijangka dapat diselesaikan dalam tahun ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menurut beliau, kajian berkenaan akan dilaksanakan sebaik proses pelantikan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dimuktamadkan.

“MPPK kini dalam proses pelantikan dan dari segi persiapan, kementerian sudah bersedia. Kita hanya menunggu pelantikan itu sebelum kajian diselesaikan dalam tahun ini juga, secepat mungkin,” katanya.

BACA LAGI: UPSR, PT3 mungkin diperkenalkan semula — Fadhlina Sidek

BACA LAGI: Penuntut Kolej Vokasional maut, nahas bertembung kereta terbabas laluan kontra di Lebuh Raya Senai–Desaru

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluangkan masa bersama murid-murid.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program PAKAT Prasekolah dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Kebangsaan Presint 9 (1), Putrajaya pada Khamis.

Fadhlina berkata, kajian itu dijalankan susulan permintaan serta pandangan yang dikemukakan oleh ibu bapa dan warga pendidik berhubung keperluan kedua-dua ujian tersebut.

Menurutnya, maklum balas daripada pelbagai pihak mendorong kerajaan meneliti semula perkara itu sebelum sebarang keputusan penting berkaitan dasar pendidikan negara dibuat.

“Tiada masalah untuk kita menjalankan kajian kerana terdapat permintaan. Ini menunjukkan kerajaan mendengar pandangan rakyat dan mengambil pendekatan untuk meneliti serta mengkaji bersama sebelum membuat keputusan penting,” katanya.

Untuk rekod, UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022 sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram