Garis panduan tidak 'fit for purpose’ sukarkan pelesenan premis pusat jagaan warga emas


  • Bisnes
  • Khamis, 25 Dis 2025

Banyak penyedia perkhidmatan terpaksa beroperasi secara diam-diam gara-gara kesukaran memperoleh lesen operasi. — Gambar hiasan

KETIADAAN garis panduan kawal selia yang jelas bagi pusat jagaan warga emas disifatkan sebagai 'bom jangka' yang boleh mencetuskan peningkatan pengendali tidak berlesen serta menjejaskan aspek keselamatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng berkata, kerenah birokrasi termasuk kesukaran mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan menyebabkan banyak penyedia perkhidmatan terpaksa beroperasi secara diam-diam.

Menurutnya, kebuntuan birokrasi itu sering mengakibatkan pusat-pusat jagaan beroperasi tanpa lesen sah, sekali gus tidak tersenarai di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

BACA LAGI: Tiada lagi bil fizikal, MPS guna WhatsApp hantar bil cukai taksiran mulai Jun 2025

BACA LAGI: Disember rekod perbelanjaan kad kredit tertinggi sejak 2019, waspada risiko hutang 'senyap'

Dr Kong (depan kiri) dan Dr Vincent ketika pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara AIM Healthcare Group dan NCAS. Turut kelihatan ialah Michelle (barisan belakang, keempat dari kiri). — AZLINA ABDULLAH/The Star

“Bahaya apabila tiada garis panduan yang jelas ialah pusat-pusat ini akan beroperasi tanpa lesen.

“Dari sudut liabiliti, ini amat berisiko. Apabila kerajaan negeri tidak mengetahui kewujudan mereka, tiada pemantauan dilakukan.

“Adakah mereka mempunyai latihan yang mencukupi? Tanpa pengawasan, kes kemalangan dan kecuaian pasti akan timbul,” katanya ketika berucap pada sambutan Krismas AIM Healthcare Group di pusatnya di USJ Sentral, Subang Jaya, Selangor.

Majlis tersebut menghimpunkan penghuni, ahli keluarga serta wakil Persatuan Kejururawatan (Nursing Care Association, NCAS) dan Association for Residential Aged Care Operators of Malaysia (AgeCope), sekali gus menjadi platform untuk membincangkan keperluan mendesak Malaysia yang sedang berdepan populasi menua dengan pantas.

Michelle menggesa pindaan terhadap garis panduan sedia ada agar rangka kerja kawal selia menjadi lebih bersesuaian dengan matlamat (fit-for-purpose), khususnya bagi pusat yang beroperasi di kawasan perumahan, di mana keperluan zon dan bantahan penduduk sering melengahkan proses pelesenan.

Majlis itu turut mencatatkan detik penting dalam landskap penjagaan kesihatan tempatan apabila beliau mengucapkan tahniah kepada pengasas dan pengarah urusan AIM Healthcare Group, Dr Kong Why Hong, atas penubuhan model penjagaan kesihatan bersepadu pertama di Malaysia.

Fasiliti berkenaan menggabungkan perubatan tradisional Cina (TCM) dan perubatan Barat, menawarkan pendekatan holistik dalam penjagaan geriatrik.

“Ini contoh kejayaan dalam mendapatkan rakan kongsi serta pelabur yang tepat,” katanya.

Bagaimanapun, Michelle menyuarakan kebimbangan terhadap golongan B40.

“Bagi mereka yang bernasib baik berada di pusat jagaan bertaraf sederhana dan tinggi, kualiti penjagaan adalah sangat baik.

“Namun kita perlu bertanya, bagaimana pula dengan golongan kurang berkemampuan?” katanya.

Dalam majlis sama, memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara AIM Healthcare Group dan NCAS bagi kerjasama latihan penjaga (caregiver).

Dr Kong menegaskan bahawa kasih sayang dan keprihatinan perlu disokong oleh kemahiran profesional.

“Penjagaan warga emas berkualiti bermula dengan tenaga profesional yang terlatih,” katanya sambil menambah bahawa MoU tersebut memastikan para penjaga dilengkapi keupayaan untuk mengurus keperluan kompleks golongan berusia.

Pengerusi NCAS, Datuk Dr Vincent Ng dan Presiden AgeCope, Delren Douglas, turut melontarkan pendapat sama.

Delren mendedahkan unjuran statistik menunjukkan jumlah rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas dijangka meningkat tiga kali ganda kepada 4.5 juta orang (15 peratus daripada populasi) dalam tempoh kurang lima tahun, berbanding 1.5 juta ketika ini.

“Pertindihan kerenah birokrasi telah mengakibatkan lebih 1,700 pusat jagaan tidak berlesen di seluruh negara,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan ke atas pusat jagaan warga emas, yang menurutnya wajar dikecualikan bagi memastikan perkhidmatan kekal mampu milik kepada golongan B40 dan M40.

Dr Vincent pula berkata, permintaan terhadap perkhidmatan kejururawatan yang profesional, boleh dipercayai dan berteraskan belas ihsan semakin meningkat seiring Malaysia menuju status negara menua.

“NCAS memainkan peranan penting dalam ekosistem ini dengan mempromosikan piawaian tinggi dalam penjagaan, memperjuangkan pembangunan kemahiran berterusan serta memastikan penjaga dilengkapi untuk menangani keperluan kompleks warga emas,” katanya.

Majlis tersebut yang turut diserikan dengan persembahan nyanyian Krismas oleh ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Subang Jaya, diakhiri dengan sambutan hari lahir untuk para penghuni pusat penjagaan kesihatan berkenaan, yang juga berfungsi sebagai hab penjagaan dan kesejahteraan warga emas komprehensif di USJ. —  The Star/ AIDA AHMAD

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram