[VIDEO] 'Sesiapa 'simpan' tolong lepaskan', ibu rayu kepulangan remaja perempuan hilang lebih 2 minggu di Melaka


  • Kes
  • Rabu, 19 Nov 2025

Nur Qasehku dilaporkan hilang sejak lebih dua minggu lalu dan dipercayai mempunyai masalah mental. — Facebook/Hazliz

POLIS sedang mengesan seorang remaja perempuan, Nur Qasehku Suhaimi, 15, yang dilaporkan hilang sejak lebih dua minggu lalu dan dipercayai mempunyai masalah mental.

Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, remaja itu dilaporkan hilang pada 3 November dan kali terakhir dilihat di hadapan kedai 7-Eleven di Jalan Seri Krubong 2, Krubong, Melaka. 

"Dia mempunyai ketinggian 161 sentimeter, berat 50 kilogram dan berbadan kurus. Ketika kejadian, mangsa dipercayai memakai T-shirt hitam, seluar hitam dan berambut botak," menurut hebahan orang hilang yang dikongsikan polis.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sengaja masuk perairan negara jiran, pemancing puji layanan baik polis Singapura

BACA LAGI: Namewee hanya dibebaskan selepas laporan bedah siasat selesai — Polis

Pihak polis turut memaklumkan bahawa usaha pencarian Nur Qasehku masih giat diteruskan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan. 

Sementara itu, ibu mangsa iaitu Nurhazlin Mohd Nor, 44, merayu bantuan orang ramai melalui hantaran di Facebook, menyatakan kebimbangannya selepas hampir sebulan tidak menerima sebarang perkembangan mengenai anaknya.

"Sudah buat repot polis, tolong kongsi. Sudah sebulan berlalu anak saya masih belum ditemui. Tidak ada perkembangan terhadap kes kehilangnnya dan ia betul-betul merisaukan saya. Ketinggian 160cm berat badan 60kg, kulit hitam manis. 

"Mohon pada semua rakyat malaysia, tolonglah kalau ternampak anak ini, siapa-siapa 'simpan' tolonglah lepaskan. Sekiranya ada ternampak hubungi saya atau terus hantar ke balai polis berdekatan. 

"Siang malam saya memikirkan nasib anak saya yang ada penyakit (psikiatri/mental).  Pihak polis pun giat membuat pencarian tetapi masih belum ada sebarang petanda. Ya ALLAH, lindungilah anakku dan kembalikan dia ke pangkuan kami," tulisnya dengan nama akaun Facebook, Hazliz. 

Dalam satu lagi komen yang ditinggalkan di Facebook, Melaka Hari Ini, ibu mangsa sekali lagi meluahkan perasaan rasa sedihnya berikutan anak perempuannya itu masih tidak ditemui. 

"Saya ibu kepada anak ini. Ya, anak saya hilang pada 3 November sehingga kini langsung tak jumpa petunjuk. Harap bantu saya. Anak saya ini nama pun tak ingat, apa pun tak tahu," katanya.

Orang ramai dengan maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu pencarian remaja berkenaan. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram