[VIDEO] Mangsa kes tembak di stesen minyak Klang dikenal pasti individu dikehendaki polis


  • Kes
  • Selasa, 11 Nov 2025

Tangkap layar kejadian seorang lelaki ditembak ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor pada Jumaat.

POLIS mengesahkan mangsa kes tembak di sebuah stesen minyak di sekitar kawasan Bukit Tinggi, Klang, Selangor Jumaat lalu adalah individu yang dikehendaki polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

‎‎Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lelaki berusia 34 tahun itu juga memiliki beberapa rekod jenayah lain.

Beliau berkata, siasatan setakat ini menjurus kepada pelbagai aspek mengambil kira latar belakang mangsa dan tujuh keterangan telah diambil membabitkan isteri serta keluarganya selain saksi kejadian.

BACA LAGI: Tragedi UPSI: Lesen pengendali bas syarikat pelancongan dibatalkan, penumpang kena ambil tahu

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita dakwa hutang RM120 punca kereta, motosikal jiran kena pecah di Setia Alam

"Siasatan masih dijalankan, bedah siasat sudah selesai dan punca kematian ialah kecederaan akibat beberapa das tembakan di bahagian dada serta perut dan sudah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

Tambahnya lagi, siasatan polis meliputi semua sudut termasuk kemungkinan pembabitan kumpulan haram dalam insiden berkenaan.

Terdahulu, pelanggan dan pekerja sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang dikejutkan dengan kejadian tembakan Jumaat lalu.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit yang tular di media sosial, kejadian berlaku sekitar pukul 11.07 malam. 

Video tanpa suara terbabit memaparkan individu menunggang motosikal dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pelanggan yang sedang menggunakan perkhidmatan di stesen berkenaan.

Dalam video berasingan dirakam orang awam pula, kelihatan petugas ambulans sedang mengusung mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah masuk ke kenderaan terbabit. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram