[VIDEO] Raih hasil jualan RM632 juta, 132 usahawan Bumiputera bimbingan MARA tembusi pasaran antarabangsa


  • Bisnes
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Asyraf Wajdi (kiri) meluangkan masa berbual bersama salah seorang usahawan Malaysia yang menyertai MIHAS Shanghai di Shanghai, China baru-baru ini. — Facebook/Asyraf Wajdi

 

 

SERAMAI 132 usahawan Melayu dan Bumiputera di bawah bimbingan serta pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), berjaya menembusi pasaran antarabangsa dekat lebih 20 negara dengan hasil jualan terkumpul sebanyak RM632 juta.

Pencapaian membanggakan itu diumumkan oleh Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menerusi hantaran di laman X miliknya pada Jumaat.

Menurut beliau, kejayaan tersebut merupakan hasil pelaksanaan Program Khas MARA Gate-To-Global (GTG) yang memberi tumpuan kepada pengantarabangsaan produk dan perkhidmatan usahawan tempatan.

BACA LAGI: Ramai tak tahu, e-Rebat cecah RM400 beli peti sejuk, penyaman udara baharu menerusi NUR: Domestik

BACA LAGI: ‘Saturday Midnight Sale’ tarikan dimensi terbaharu Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Johor

"Kelmarin sahaja (Rabu), pada hari pertama Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025 yang berlangsung di Shanghai, China, tiga syarikat usahawan Bumiputera MARA berjaya memeterai perjanjian usahasama dengan rakan pengedar di Shanghai bernilai lebih RM60 juta.

 

 

 

"Bukan mudah menembusi pasaran China yang mempunyai lebih 1.4 bilion penduduk, namun kejayaan ini membuktikan keupayaan usahawan Bumiputera untuk bersaing di peringkat global.

"MIHAS Shanghai kali ini juga menjadi kebanggaan apabila Pavilion Malaysia muncul antara yang terbesar, menghimpunkan lebih 250 usahawan tempatan," katanya lagi yang turut menhadiri program tersebut ketika berada di Shanghai.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz, Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad serta Konsul Jeneral Mohd Shahafeez Shaharis.

Tambah beliau, kejayaan pelaksanaan program GTG turut diperkukuh hasil kerjasama strategik antara MARA dan MATRADE dalam memperkasa agenda eksport produk halal Malaysia.

Asyraf Wajdi turut menzahirkan pernghargaan buat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang sentiasa bekerjasama menyediakan ruang serta platform kepada usahawan Bumiputera untuk mengetengahkan produk masing-masing ke persada dunia.

Antaranya di Jepun, Dubai, Australia, Jerman dan Switzerland melibatkan pelbagai produk seperti produk-produk kesihatan, kecantikan serta makanan dan minuman.

Dalam lawatan tersebut, Asyraf Wajdi turut berpeluang bertemu 16 usahawan Malaysia yang menyertai MIHAS@Shanghai 2025, sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan perniagaan di pasaran China.

Melalui perkongsian video yang dimuat naik beliau, Asyraf Wajdi turut menzahirkan rasa kagum dan terhadap salah seorang usahawan dari Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Menurut usahawan tersebut, program Gate-To-Global banyak membantu pemilik syarikat mempromosikan produk mereka ke luar negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram