MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tampil memohon maaf atas komen diberikan terhadap petugas media ketika menghadiri program pencahayaan I Lite U di Kuala Lumpur sebelum ini.
Permohonan maaf itu dibuat ketika sidang media selepas beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Padang Madani Taman Boon Bak di Ipoh, Perak pada Ahad.
"Saya terima setiap kritikan membina dengan hati terbuka. Sekiranya ada rakan-rakan media tersinggung dengan kata-kata saya, saya tarik balik dan memohon maaf dengan ikhlas," katanya.
BACA LAGI: Dewan Rakyat: Projek MyKiosk siapa baling batu, jangan sembunyi tangan — Nga Kor Ming
BACA LAGI: Dewan Rakyat: Kor Ming tipu isu sampah 20 tan selepas himpunan aman Turun Anwar?
Pada Khamis lalu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu mencuri perhatian setelah mempertikaikan soalan wartawan ketika ditanya mengenai penggunaan Bahasa Inggeris bagi projek I Lite U.
Tindakan itu bagaimanapun menerima kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).
Tambah Kor Ming, setiap individu yang sudah mengenalinya hampir 30 tahun pasti tahu bahawa beliau cukup menghormati pihak media dan kebebasan bersuara.
"Sekali lagi, sekiranya ada yang tersinggung dengan komen saya, saya menarik balik dan minta maaf kerana kita perlu fokus membangunkan negara. Itulah apa yang lebih penting," kata beliau. — The Star/MANJIT KAUR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
