LANGKAH kerajaan Indonesia menampal pelekat bertulis 'Keluarga Miskin' di rumah penerima bantuan sosial (bansos) menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat negara itu.
Malah, ia kini turut menjadi topik perbincangan dalam kalangan netizen di negara ini dengan ada segelintir beranggapan, perkara sama boleh dilaksanakan di Malaysia.
Menurut laporan media Indonesia, penerima bantuan yang menanggalkan pelekat tersebut tidak akan layak menerima bantuan sosial seterusnya.
BACA LAGI: Dulu satu meja RM700 tapi kini RM1,800, kenaikan harga bahan mentah jejaskan katerer bankuet
BACA LAGI: Restoran ikan bakar di Melaka akui silap kira bil, juruwang mohon maaf secara peribadi

Pelekat 'Keluarga Miskin' untuk ditampal di rumah penerima keluarga bantuan sosial. — Agensi
Menariknya, tindakan itu menyebabkan ramai pemohon menarik diri daripada menjadi penerima bantuan sosial bagi mengelak dikaitkan dengan label 'Keluarga Miskin', seperti dilaporkan Kompas.TV.
Sebahagian netizen Malaysia berpandangan pendekatan itu boleh dijadikan contoh untuk memastikan ketelusan bantuan kerajaan, sekali gus mengelakkan penerima yang tidak layak daripada menerima bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada golongan benar-benar susah.
Namun demikian tidak semua bersetuju dengan cadangan itu.
Pengguna media sosial, @ainul_basri, menegaskan langkah seperti itu tidak sesuai diterapkan di Malaysia kerana boleh menjejaskan maruah penerima bantuan.
“Dalam kita nak membantu, kita kena pelihara maruah orang yang nak dibantu. No one likes to be called ‘keluarga miskin’ walaupun dia betul-betul miskin.
"Inisiatif kerajaan Malaysia sentiasa gunakan jenama bermaruah seperti STR, SARA, RAHMAH, MyKasih — yang mencerminkan kasih kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menambah, label seperti itu boleh memberi kesan psikologi kepada anak-anak apabila melihat perkataan 'keluarga miskin' di pintu rumah mereka.
Sementara itu, pengguna lain, @chhdiel, menjelaskan bahawa situasi di Indonesia berbeza kerana penduduknya ramai dan penempatan mereka lebih berterabur, menyukarkan pihak berkuasa untuk menyalurkan bantuan dengan tepat.
“Malaysia susunannya lebih teratur dan semua data bantuan kini sudah digital serta berasaskan MyKad. Jadi tak ada keperluan untuk guna pelekat,” jelasnya.
Program pemasangan pelekat 'Keluarga Miskin' itu disifatkan efektif kerana menimbulkan efek jera atau perasaan malu bagi mereka yang berpura-pura miskin demi mendapatkan bantuan.
Menteri Sosial Indonesia, Saifullah Yusuf dipetik berkata, anggaran bantuan sosial untuk keluarga penerima manfaat yang menarik diri akan untuk keluarga penerima manfaat baru yang memenuhi kriteria. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
