PEMILIK lori yang terdahulu tular kerana membakar kenderaannya bagi mengelak disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Isnin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.
Tertuduh, Mohamad Aimullah Che Ambok, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam yang juga pegawai JPJ daripada menjalankan tugas di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Air, Jalan Tepoh dekat Kuala Terengganu kira-kira pukul 1.30 petang pada Rabu lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Berang disita JPJ, remaja bawah umur nekad bakar lori ‘hantu’ di Terengganu
BACA LAGI: Tiada kompromi bagi pegawai JPJ terbabit sindiket ‘stiker perlindungan’ lori — Anthony Loke
Bagi kesalahan itu, Mohamad Aimullah didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap tertuduh dan memerintahkan hukuman penjara lima bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan pemilik sebuah lori membakar kenderaan miliknya selepas kenderaan terbabit dikenakan tindakan sita oleh JPJ di lokasi kejadian.
Kenderaan berat tersebut didapati terlibat dengan beberapa kesalahan, termasuk gagal menjalani pemeriksaan Puspakom sejak 2023 serta Lesan Kenderaan Motor (LKM) sudah tamat tempoh lebih dua tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
