
DUNIA pendakian dikejutkan dengan kematian seorang pendaki dikenali sebagai Mustaqqeem Mansoor, 34 ditemukan meninggal dunia ketika mendaki di puncak Gunung Liang di Tanjung Malim, Perak pada Khamis.
Berdasarkan laporan media, Mustaqqeem ditemukan berseorangan dalam posisi seakan tidur mengiring serta keadaan hidungnya mengeluarkan sedikit darah sebelum ditemukan oleh pasukan Zon 4 Tapah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak.
Tragedi menimpa pendaki dari Sungai Petani, Kedah itu mendorong pendaki berpengalaman, Rohana Man, 56, memberikan pandangannya mengenai kejadian menyayat hati berkenaan.
Menurut Rohana, mangsa dikatakan mula mendaki pada 10 Oktober bersama 10 rakan termasuk seorang Malim Gunung Perhutanan (MGP) dengan laluan bermula dari Bukit Fraser sebelum dijangka menamatkan pendakian empat hari kemudian di Gunung Liang.
Namun, pada 14 Oktober, arwah dilaporkan mengadu sakit kaki di puncak dan kali terakhir dilihat dalam keadaan masih bernyawa sebelum rakan-rakannya turun untuk mendapatkan bantuan.
Malangnya, hanya seorang pemandu arah ditinggalkan untuk menemani Allahyarham Mustaqqem yang kemudiannya individu itu turut terpaksa turun setelah bantuan tidak kunjung tiba.
Bagi Rohana, keputusan meninggalkan mangsa bersendirian di puncak gunung itu dianggap kesilapan besar, kerana dalam situasi kecemasan sepatutnya dua atau tiga individu perlu kekal menemani mangsa sementara yang lain mendapatkan bantuan.
"Bagi saya, ini satu keputusan yang silap besar. Sepatutnya, dua atau tiga orang menemani arwah, bukan seorang. Kenapa perlu lebih seorang menemani rakan pendaki yang cedera?
"Sebab kalau bantuan terlalu lambat tiba, seorang atau dua orang akan turun dan seorang lagi masih kekal menjaga rakan yang cedera.Dalam kes arwah, dah sehari menunggu, bantuan tak tiba sehingga akhirnya, satu-satunya rakan yang menemani arwah terpaksa turun untuk mendapatkan bantuan.
"Sekali gus meninggalkan arwah seorang diri di dalam hutan tebal," katanya yang menekankan pentingnya semangat setiakawan dan tanggungjawab bersama sebagai satu kumpulam ketika mendaki.
Mengulas lanjut, Rohana berpendapat bahawa isu utama yang perlu diberi perhatian dalam insiden berkenaan ialah kualiti serta pengalaman sebenar MGP yang diiktiraf Jabatan Perhutanan.
Rohana mendakwa kini terdapat individu yang hanya mendaki satu atau dua gunung sudah layak memohon lesen MGP selepas menghadiri kursus enam hari tanpa pendedahan mencukupi di lapangan.
Rohana sudah berpengalaman mendaki tiga gunung di Indonesia iaitu Gunung Rinjani, Gunung Semeru dan Gunung Merapi.
"Ketatkanlah pengambilan MGP sebab ada yang naik baru ada pengalaman naik satu ke dua gunung, satu ke dua bukit. Siapa-siapa boleh mohon MGP, yang tak pernah naik bukit pun dia boleh mohon, yang penting pergi kursus dalam enam hari.
"Kebanyakan kursus tu bukan praktikal kebanyakan kursus itu teori saja duduk dalam kelas, jadi bagi saya siapa yang nak jadi MGP itu, nak bagi lesen tu kena yang ada experience lima tahun.
"Ambil mereka yang dah daki gunung-gunung hard core, gunung-gunung grade A dan tahu mengurus manusia ini macam mana, sebab jadi MGP ini lebih pada pengurusan manusia, bukan sekadar tunjuk jalan," katanya kepada Majoriti.
Rohana yang berpengalaman lebih 25 tahun sebagai ‘gogo’ (penganjur program mendaki) turut mencadangkan rombakan semula kurikulum latihan MGP oleh Jabatan Perhutanan, supaya menekankan aspek keselamatan, kepimpinan dan pengurusan krisis di lapangan.
Katanya lagi, kes seumpama ini bukan yang pertama berlaku, dan tragedi Mustaqeem wajar dijadikan pengajaran penting untuk memperkukuh tatacara keselamatan aktiviti pendakian di negara ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram