[VIDEO] 'Ayah, lari ayah!’, keluarga disamun selepas dikejar 2 kereta berhampiran Terowong Menora


  • Tular
  • Khamis, 16 Okt 2025

Tangkap layar kejadian samun yang berlaku berhampiran Terowong Menora menghala ke Kuala Lumpur.

SATU video tular di media sosial memaparkan detik cemas sebuah keluarga yang panik apabila dua buah kereta dipercayai cuba menghampiri dan menghalang kenderaan mereka dalam kejadian samun pada Khamis di Lebuhraya Utara-Selatan. 

Menurut info orang awam di media sosial, kejadian berkenaan dipercayai berlaku sekitar pukul 4 pagi (16 Oktober 2025) berhampiran Terowong Menora menghala ke Kuala Lumpur.

Dalam video berdurasi hampir seminit itu, kedengaran suara cemas seorang wanita menjerit memanggil ayahnya agar memecut kenderaan selepas dua buah kereta dikatakan cuba menghimpit mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Nasib baik anak peka, warga emas dan adik OKU nyaris jadi mangsa penyamun bersenjata

BACA LAGI: Ada 15 rekod lampau, suspek berparang samun wanita sekitar Kulai akhirnya dicekup

"Ayah, ayah! Dia suruh berhenti itu! Astaghfirullahaladzim… ayah lari, ayah! Allahuakhbar! Telefon polis, abang! Kenapa ini nak rapat-rapat? Ya ALLAH ya Tuhanku," kedengaran suara ahli keluarga berkenaan. 

Rakaman berkenaan berakhir secara tiba-tiba selepas dua kenderaan tersebut dilihat semakin menghampiri kereta mangsa, menyebabkan ramai warganet tertanya-tanya mengenai nasib keluarga berkenaan.

Berdasarkan perkongsian pengguna media sosial dikenali sebagai dinkbf5, keluarga terbabit difahamkan kehilangan dompet, sejumlah wang tunai serta beberapa telefon bimbit selepas disamun dua kereta berkenaan.

"Mangsa mendakwa dua kereta telah menghalang laluan di depan dan kanan, sebelum dompet, duit, dan telefon disamun.

"Hasil siasatan awal polis dikatakan mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu," kongsi dinkbf5. 

Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa kini mengenai suspek yang terlibat dengan nasib keluarga itu juga masih belum diketahui sepenuhnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram