
EMPAT individu yang terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Alor Gajah, Melaka akan didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Khamis.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, AGC memaklumkan bahawa pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendapati terdapat asas mencukupi untuk mendakwa suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.
BACA LAGI: Empat suspek kes rogol pelajar di Melaka dibuang sekolah serta-merta, duduki SPM berasingan
BACA LAGI: Salah laku seksual di Melaka: MCMC gesa media lapor secara beretika, elak ganggu emosi mangsa
"Jabatan ini telah memutuskan bahawa individu-individu tersebut akan dituduh mengikut Seksyen 375B dan 377B Kanun Keseksaan [Akta 574], serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792]," katanya.
AGC turut memaklumkan bahawa pertuduhan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka yang mempunyai bidang kuasa tempatan yang berkenaan.
Menegaskan komitmen terhadap keadilan, jabatan itu menegaskan bahawa setiap kesalahan yang melibatkan kanak-kanak dan jenayah seksual akan didakwa serta dikendalikan dengan adil mengikut undang-undang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram