[VIDEO] Nasib baik anak peka, warga emas dan adik OKU nyaris jadi mangsa penyamun bersenjata


  • Tular
  • Rabu, 15 Okt 2025

Tangkap layar lelaki (kanan) itu merempuh pintu utama kediaman berkenaan.

TINDAKAN pantas seorang anak yang peka memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya menyelamatkan ibunya serta adiknya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada menjadi mangsa samun bersenjata di Palong 7/8, Gemas, Negeri Sembilan pada Selasa. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang pada Selasa (14 Oktober), suspek lelaki berpakaian serba hitam dan bertopi dilihat memasuki laman rumah mangsa sebelum cuba membuka pintu utama kediaman berkenaan yang ketika itu berkunci.

Berdasarkan rakaman CCTV yang dikongsi laman Community Roda Johor - CRJ, suspek kemudian dilihat memakai topeng muka dan bertindak agresif apabila merempuh pintu rumah tersebut untuk masuk ke dalam.

BACA LAGI: Polis sahkan tiada unsur buli, rampas 2 barang kes tikam pelajar perempuan Tingkatan 4

BACA LAGI: [VIDEO] Anak obses main telefon, ibu terpaksa ‘tahan’ polis tepi jalan

Video kedua turut dimuat naik itu memaparkan lelaki sama, kali ini tanpa topeng muka, mengacukan sebilah pisau pemotong daging ke arah ibu yang juga warga emas berkenaan sambil memaksa mangsa menyerahkan wang tunai.

"Mana duit? Keluarkan duit semua. Mak cik bawa pergi mana duit. RM50 ke RM100," kata lelaki berkenaan dalam nada mengugut sambil memaksa mangsa mencari duit di dalam rumah.

Namun, wanita terbabit dilaporkan bertegas bahawa dia tidak mempunyai wang seperti yang diminta walaupun sudah mencari di hampir keseluruhan rumahnya. 

Sementara itu, anak wanita berkenaan yang kebetulan memantau CCTV dari lokasi lain segera menghubungi penduduk kampung untuk meminta bantuan selepas melihat kejadian itu secara langsung.

"Kejadian samun bersenjata di Palong 7&8. Kejadian petang semalam 14/10/2025 dalam pukul 6 petang. Hati-hati semua, pastikan rumah sentiasa dikunci ya. Penjenayah dah ditangkap oleh orang kampung. 

"Mujur anak dia buka CCTV. Di rumah itu ada mak dan adik dia OKU. Jadi, dia tengok CCTV, terus minta tolong orang kampung," kongsi laman Facebook Community Roda Johor - CRJ.

Kejadian itu tular di media sosial dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar Palong agar lebih berhati-hati serta memastikan rumah sentiasa dikunci. 

Community Roda Johor - CRJ turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan memasang CCTV bagi memantau keadaan rumah, terutama jika ada ahli keluarga yang tinggal sendirian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram