
TULAR di media sosial mengenai pengalaman seorang lelaki yang meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa keretanya dihimpit oleh dua buah ambulans di kawasan parkir Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang.
Menurut hantaran dikongsikan laman Facebook, Penang Kini, lelaki itu menjelaskan bahawa dia hanya berhenti seketika di kawasan berkenaan untuk mengambil isterinya yang baru dibenarkan keluar dari zon kuning, sambil membawa anak kecil berusia enam tahun.
"Ambil isteri discharge dari yellow zone, bawa anak enam tahun. Tak ada tanda larangan parkir, tak ada sign kata untuk ambulans sahaja sebab masa tu pun ada kereta lain parking sebelah.
"Ya, bang, saya salah parking situ, tapi bukan ini caranya," kongsi lelaki berkenaan.
Katanya lagi, semasa dia ingin beredar dari kawasan tersebut, beberapa individu yang berada di situ memaklumkan bahawa semua pemandu ambulans sudah pulang dan hanya akan datang semula pada waktu malam.
"Mereka pergi bahagian tempat pemandu dan cakap 'driver semua balik, malam baru mai ambil'. Dalam hati saya fikir, kalau ada kes ambulans, semua jalan sendiri ke?” tambahnya.
Bagaimanapun, situasi menjadi lebih tegang apabila dua buah ambulans dilihat menghimpit rapat kenderaannya satu di bahagian kiri dan satu lagi di bahagian kanan sehingga dia tidak dapat mengeluarkan keretanya.
"Kalau orang lain buat salah macam saya bang, jangan buat dekat orang lain macam abang buat dekat saya. Ikut bonet belakang, masa orang gelak-gelak itu lagi sakit hati bang.
"Nice attitude mereka ini. Dah tiada pilihan, masuk masuk itu dengar bunyi. Ya saya salah tapi bukan itu caranya," luahnya lagi.
Menerusi dua foto yang dikongsikan oleh lelaki berkenaan, jelas kelihatan keretanya dihimpit ketat oleh dua ambulans di kawasan parkir hospital, dipercayai kawasan khas untuk kenderaan rasmi hospital.
Insiden tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet apabila ada yang berpihak kepada lelaki berkenaan dan menganggap tindakan menghimpit kereta itu sebagai tidak profesional.
Manakala sebahagian lain pula menegaskan bahawa tempat parkir ambulans tidak wajar digunakan oleh orang awam walau seketika berikutan kes kecemasan boleh berlaku bila-bila masa sahaja.
Setakat ini, pihak Hospital Seberang Jaya belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjelaskan situasi sebenar insiden yang berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram