
BEKAS pembantu peribadi Mizz Nina, Nur Haniza Mohd Azhar menerima pampasan sebanyak RM55,000 berhubung kes penamatan kerja tidak adil yang difailkan di Mahkamah Perusahaan.
Peguamnya, Mohamad Nasruddin Ab Rahman daripada firma guaman Tetuan Nas Rahman & Azri Abdullah berkata, persetujuan itu dicapai melalui rundingan di luar mahkamah selepas anak guamnya diberhentikan kerja oleh penyanyi dan aktivis itu pada 30 April 2024.
Menurut beliau, di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Haniza berhak menuntut pampasan maksimum bersamaan 24 bulan gaji selain pampasan sebagai ganti pemulihan kerja.
BACA LAGI: Sah berpisah dengan Noh, Mizz Nina mohon doa sepanjang tempoh edah
"Oleh itu, kami telah memfailkan aduan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan kes kemudiannya dirujuk ke Mahkamah Perusahaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Nasruddin, jumlah pampasan yang dipersetujui adalah berikutan penamatan kerja oleh pihak Mizz Nina atau nama sebenarnya, Sharina Azman, 45, terhadap Haniza dan perkara ini diharap dapat menjadi dorongan kepada pekerja lain yang ditindas untuk tampil menuntut keadilan.
Dalam masa sama, Haniza meluahkan rasa syukur atas keputusan tersebut dan menyeru para pekerja agar tidak gentar mempertahankan hak mereka.
Mizz Nina didakwa memberhentikan pembantu peribadi tanpa alasan kukuh.
“Tidak kira setinggi mana darjat majikan tersebut, jika kita berada di pihak yang benar, teruskan perjuangan. Simpan segala dokumen sebagai bukti untuk memudahkan urusan di mahkamah,” katanya.
18 Mei tahun lalu, Nur Haniza dilaporkan bakal mengambil tindakan undang-undang selepas diberhentikan kerja secara tidak adil tanpa alasan kukuh.
Memetik laporan media, Haniza diberhentikan sebagai pembantu peribadi selepas 11 tahun berkhidmat untuk penyanyi itu tanpa kontrak bertulis dan mendakwa tidak menerima gaji serta pampasan seperti dijanjikan dalam surat pemberhentian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram