
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan kursus rintis pemulihan untuk pemegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang digantung pada November ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, inisiatif itu diwujudkan bagi memberi peluang kepada pemandu untuk berada dalam program pemulihan sebelum kelayakan lesen mereka dipertimbangkan semula.
"Mereka wajib menghadiri kursus pemulihan sebelum lesen itu diberikan semula. Perkara itu akan dilaksanakan dan kami sedang memperhalusi beberapa aspek dengan Kementerian Pengangkutan.
BACA LAGI: Ujian teori lesen vokasional PSV dan GDL dimansuh, silibus kelas disemak semula — Loke
Aedy menyatakan objektif utama pelaksanaan program itu adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.
"Program rintis ini dijangka bermula November depan," katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Lori dan Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan berkaitan inisiatif keselamatan jalan raya pada Khamis.
Jelasnya, objektif utama pelaksanaan kursus tersebut adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan tahap profesionalisme dalam kalangan pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan barangan.
"Buat masa ini, sejurus sahaja pemandu memperoleh lesen PSV atau GDL, mereka akan dibenarkan memandu serta-merta tanpa menduduki latihan lanjut.
"Kami percaya dengan adanya latihan lanjutan dan kursus pemulihan ini adalah penting untuk mengingatkan semula pengetahuan pemandu akan peraturan jalan raya kerana mungkin ada yang sudah terlupa," katanya.
Aedy turut berkata, buat masa ini, kursus pemulihan hanya dianjurkan buat pemegang lesen PSV dan GDL sebelum dipanjangkan kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM).
"Kami juga sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan kursus penyegaran lanjutan khas untuk pemandu kenderaan berat," katanya lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram