[VIDEO] Rumah dah siap tak ada duit nak bayar, 5 tahun kena tipu — Kakak Naga


  • Tular
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Kakak Naga tidak dapat menyembunyikan air mata terharu selepas diberikan gift berbentuk singa dari pengikutnya di TikTok.

 

 

DUNIA Kakak Naga kini berubah 360 darjah. Fenomena yang tercetus pemilik nama sebenar Nur Faizah Khalid, 34, ini bukan calang-calang terutamanya dalam kalangan 'kanak-kanak purba' yang menyokong perjuangan suri rumah itu mencari sesuap rezeki menerusi platform TikTok.

Bukan sedikit dugaan demi dugaan terpaksa diharungi Kakak Naga. Kendatipun bisnes mee besen viral yang diusahakannya sejak 2018 terpaksa ditutup, itu bukan alasan untuk Kakak Naga tidak kembali bangkit.

Indahnya percaturan ALLAH. Semua orang sayangkan Kakak Naga. Walaupun ada yang kompelin kononnya permainan itu tak sesuai untuk dibeli orang dewasa, impak soalan susulan ketika berkongsi video Kakak Naga contohnya nak beli lebih untuk anak, warna apa yang sesuai sememangnya menjentik hati ramai pihak. Kenapa? Kerana Kakak Naga ikhlas ketika berniaga. Kakak Naga bukan saja menjual permainan, tetapi kenangan ketika zaman kanak-kanak yang tak boleh dibeli dengan wang ringgit.

BACA LAGI: [VIDEO] Bisnes mee besen viral ditutup, ‘Kakak Naga’ perlahan-lahan biasakan diri jadi artis, muncul pujaan ‘kanak-kanak purba’

BACA LAGI: 'Jangan normalisasi dosa', kartun K-Pop Demon Hunters pengaruh buruk kanak-kanak — Agamawan

Terbaru dalam video 'live' TikTok bersama pengikutnya, wanita itu tidak dapat menyembunyikan perasaan terharunya dibantu orang ramai sehingga ke tahap seperti hari ini.

"Korang semua patut tidur tau, bukan bagi gift kat akak. Akak kalau boleh tak nak menangis, tapi terharu sangat dengan korang semua.

"Akak tak pernah terfikir langsung dapat rezeki ALLAH seperti ini," katanya berlinangan air mata.

Ketika sesi 'live', beberapa pengikut turut memberikan gift berbentuk singa, antara gift termahal di TikTok.

Pada masa sama, Kakak Naga juga berkongsi dia sering ditipu ketika berniaga selama ini, selain tidak mempunyai wang untuk menyiapkan rumahnya di Bandar Hilir, Melaka.

"Rumah dah siap tinggal nak ambil kunci, tapi tak ada duit nak bayar. Lima tahun akak kena tipu, ya ALLAH saja yang boleh balas jasa baik korang semua," katanya sebak.

Kakak Naga kini tak putus-putus dilimpahi rezeki sebaik viral di TikTok apabila menjual permainan kesukaan 'kanak-kanak purba'

Terlebih dahulu menjalankan sebuah restoran 'Mee Besen' yang pernah tular sekitar 2019 sebelum ini di Bandar Hilir, Melaka, wanita terbabit akui dirinya kini sedang di fasa membiasakan diri dengan perhatian daripada orang ramai.

"Dulu pernah ada restoran, dari kedai beralih ke gerai dan sekarang niaga tepi jalan, bila malam buat live TikTok jual mainan budak-budak tapi yang membelinya budak-budak 'purba'.

"Saya tak sangka yang orang boleh terima karakter saya yang macam ni, walaupun sebenarnya hanya jual mainan untuk suka-suka tampung pendapatan keluarga tapi bila pergi mana-mana orang minta bergambar.

"Terasa macam artis pula dah bila macam ni walhal sebenarnya saya ni introvert orangnya, tak reti pun nak bermesra kalau depan ramai tapi senyum je bila ada minta bergambar," katanya kepada Majoriti.

Mengimbau kembali detik awal penglibatannya dalam penjualan mainan di TikTok, Nur Faizah asalnya sekadar menjual patung naga namun semakin dikenali selepas membawa masuk mainan-mainan unik dari luar negara.

Paling tidak dilupakan apabila jumlah penonton di TikToknya mencapai angka 30,000 orang yang menurutnya satu momen manis sepanjang hidupnya.

"Sebelum ni jual naga printed 3D je tapi tak adalah sampai viral, bila jual mainan itik tu yang mula orang suka dan jualan pun laris.

"Penonton live saya pernah capai 30,000 orang mata memandang dan semua terhibur dengan gelagat saya, tapi itu bukan dibuat-buat, memang saya bercakap dengan anak pun macam ni gayanya.

"Alhamdulillah rezeki pun bertambah sampai sekarang nak live pun dah susah sebab sibuk dengan temu ramah radio, program lain-lain, saya buat masa sekarang tengah hayati detik jadi 'artis' ni," ujarnya berseloroh.

Tidak mensasarkan impian terlalu menggunung dalam jualan mainan diusahakan, Nur Faizah sebaliknya mahu fokus untuk melariskan lagi jualannya selain terus memenuhi permintaan pembeli-pembelinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram