
PERMUKAAN jalan tidak rata disebabkan kelewatan dari segi penyelenggaraan dan kualiti bahan digunakan sering mengakibatkan rasa kurang senang terhadap pengguna.
Meskipun aduan sering ditujukan kepada pihak berkuasa, mereka yang bertanggungjawab sering lewat dalam mengambil tindakan kerana perlu melalui pelbagai peringkat sebelum pembaikan jalan dapat dilakukan.
Jadi, berang dengan situasi sedemikian, sesetengah pengguna terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan mengeluarkan pembelanjaan untuk membaiki jalan yang rosak dan terjejas.
BACA LAGI: MBPJ turap jalan secara percuma, pemilik rumah tak perlu caj kontraktor luar
BACA LAGI: [VIDEO] 'Terminator' beria-ria tiru Lando baiki jalan tapi salah turap laluan paip
Perkara itulah yang dilakukan seorang individu berjiwa besar yang menutup jalan berlubang sekitar kawasan penduduk menggunakan seguni pasir dipercayai dibelinya sendiri.
Momen menyentuh hati tersebut dirakam pengguna TikTok, Wawa Eastkandar yang jelas terharu dengan bantuan diberikan kerana ia sudah tentu mengurangkan keresahan penduduk.
"Ya ALLAH, terharu saya tengok 'uncle' ini tolong letak pasir untuk tampal jalan yang berlubang teruk. Jalan ini menjadi laluan ramai pengguna setiap hari. Semoga kebaikan 'uncle' dibalas dengan kebaikan dan kesejahteraan," tulisnya.
Dalam rakaman berdurasi kurang dari dua minit itu, individu tidak dikenali tersebut pada awalnya menabur seguni pasir meskipun ketika itu hujan mula turun.
Selepas pasir dalam guni berkenaan habis ditabur, dia kembali ke kereta miliknya untuk mengeluarkan guni berbeza yang turut ditabur dalam lubang yang sama.
Lubang di jalan raya mengundang risiko kepada pengguna, terutamanya penunggang kenderaan dua roda. — Agensi
Tidak lama selepas usaha murni itu dilakukan, hujan turun dengan lebih lebat yang kemudian memaksanya untuk pulang ke kereta dengan lubang berjaya ditutup dengan kemas.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan di manakah video tersebut dirakam kerana tiada maklumat lanjut disertakan dalam hantaran TikTok yang dikongsikan pada Sabtu.
Rakaman tersebut sepatutnya menjadi tamparan terhadap mana-mana jabatan mahupun individu yang sepatutnya peka akan isu sedemikian kerana ia menjejaskan keselesaan penduduk.
Selain itu, isu jalan berlubang boleh mengundang bahaya terhadap penunggang motosikal atau basikal sekiranya mereka tidak menyedari akan bahaya semasa di atas jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram